Piston.my

Stellantis Perkukuh Komitmen Terhadap Pasaran Malaysia Menerusi Hub Alat Ganti Serantau, Mula Beroperasi Pada 2025

Stellantis, pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia dan perintis penyediaan mobiliti telah mengumumkan penubuhan Hub Alat Ganti Serantau di Malaysia. Hub itu merupakan satu komponen penting dalam strategi Stellantis untuk mempergiatkan usaha lokalisasi serta mengukuhkan kehadirannya dalam jangka masa panjang di rantau India dan Asia Pasifik, termasuklah Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, “Rantau India dan Asia Pasifik merupakan enjin pertumbuhan ketiga bagi Stellantis. Hub Alat Ganti Serantau ini bakal menjadi satu aset penting dalam strategi rantaian bekalan serantau kami.

“Pelaburan ini membuktikan komitmen jangka panjang Stellantis dalam mengukuhkan pertumbuhan dan kehadiran kami bukan sahaja di rantau ini, malah menyumbang kepada memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai satu hub automotif serantau. Kami akan terus berada di sini dan komited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, di samping memberi perkhidmatan dan operasi yang cekap melalui hub baharu ini. Ia akan memberi khidmat kepada pasaran Malaysia dan rantau ini.”

Dijadual memulakan operasi pada suku pertama 2025, Hub Alat Ganti Serantau baharu itu direka untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dari 20 buah negara di rantau ini, termasuk pasaran-pasaran penting seperti Malaysia. Hub ini juga merupakan sebahagian daripada strategi Stellantis untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya dengan mengurangkan tempoh tidak dapat beroperasi. Selain memastikan akses yang efisien serta kebolehdapatan alat ganti otomotif serta komponen kepada para pengedar dan pelanggan.

Hub itu akan menempatkan alat ganti otomotif serta komponen untuk semua jenama Stellantis seperti PEUGEOT, Citroën, Alfa Romeo, Jeep, RAM, Leapmotor dan banyak lagi.

“Pembukaan gudang alat ganti serantau kami di Malaysia mencipta satu pencapaian yang signifikan dalam komitmen kami kepada pelanggan, ketika kami ingin terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di rantau India dan Asia Pasifik. Terletak di Zon Perdagangan Bebas yang strategik di Malaysia, gudang alat ganti serantau ini akan membolehkan kami untuk menambah baik aspek kebolehdapatan alat ganti, mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan servis secara keseluruhannya.

“Ia juga membolehkan kami untuk memberi maklum balas dengan lebih cepat kepada permintaan pelanggan yang kian bertambah. Pada masa sama memastikan mereka menerima sokongan selepas jualan yang terbaik,” kata Ketua Alat Ganti & Servis Stellantis India & Asia Pasifik, Olivier Torchet.

Sejak tahun 2021, Stellantis telah membina asas kepada hala tuju “Dibina di ASEAN untuk ASEAN” di Malaysia. Ia dimulakan dengan pemilikan 100% ke atas kilang Stellantis Gurun di Kedah yang akan dimaksimumkan sebagai hub pengilangan serantau untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN. Pada Mac tahun ini, Stellantis Malaysia telah ditubuhkan sebagai satu entiti rasmi yang berperanan mengarah serta mengurus aspek pemasaran, jualan, pengedaran dan selepas jualan semua jenama Stellantis di Malaysia.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan