Piston.my

JPJ Kelantan Menjana RM151,100 Daripada Lelongan Kenderaan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan berjaya menjana RM151,100 daripada lelongan 38 kenderaan dalam Program Lelongan Awam Kenderaan Sita yang berlangsung di JPJ Panji. Menurut Berita Harian, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menyatakan lelongan ini menarik penyertaan 58 pembida yang bersaing untuk 42 kenderaan, termasuk 24 kenderaan yang layak didaftarkan dan 18 kenderaan yang diklasifikasikan sebagai sekerap.

Antara kenderaan yang dilelong termasuk pelbagai jenama kereta, motosikal, dan lori. Bidaan tertinggi dicapai oleh kereta klon Toyota BB (A), yang dibida pada harga RM35,500, jauh melebihi harga rizabnya iaitu RM12,900. Bidaan terendah pula adalah untuk motosikal skrap Modenas Kriss, yang dijual pada RM50.

Mohd Misuari turut menyatakan bahawa daripada 12 kereta klon yang dilelong, sembilan berjaya dijual dengan kutipan keseluruhan RM119,100, sementara empat kereta klon tidak dilelong. Kenderaan lain yang dilelong termasuk model popular seperti Honda Civic, Honda Jazz, Mini Cooper, Proton Saga, dan Mercedes-Benz, serta motosikal seperti Modenas AN110F, Modenas Kriss, dan Honda C100.

Kenderaan yang dilelong ini telah disita lebih daripada setahun lalu dan menunggu arahan mahkamah untuk pelupusan. Mohd Misuari juga menyebut bahawa masih terdapat 100 lagi kenderaan yang menunggu proses mahkamah sebelum boleh dilelong. Pada tahun 2022, dua sesi lelongan yang diadakan melibatkan 66 kenderaan dan menghasilkan RM226,584.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan