Piston.my

Penyalahgunaan Brek Kecemasan ETS oleh Penumpang Menyebabkan Kelewatan Dua Jam

Seorang penumpang dalam perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Ipoh telah mencetuskan brek kecemasan secara tidak wajar, menyebabkan kelewatan perjalanan selama dua jam. Kejadian yang berlaku pada 12 Oktober 2024 itu kini sedang disiasat oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Kereta api tersebut, yang bertolak pada pukul 9:40 malam, sepatutnya tiba di Ipoh pada pukul 12:16 pagi, namun akibat tindakan tersebut, ia hanya sampai kira-kira pukul 2:00 pagi. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, memaklumkan bahawa insiden itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV), dan laporan terperinci akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk tindakan lanjut.

Datuk Mohd Rani turut menyeru para penumpang agar mengelakkan tindakan yang mengganggu perkhidmatan tren kerana keselamatan dan ketepatan masa adalah keutamaan KTMB. Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang melanggar protokol keselamatan, di mana di bawah Seksyen 122 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, mereka boleh didenda sehingga RM1,000, dipenjarakan sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya bagi penyalahgunaan isyarat kecemasan.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan