Piston.my

Mini Malaysia Melancarkan Mini Aceman Baharu, Previu Mini Cooper S 5-Door

Mini Malaysia mempersembahkan Mini Aceman baharu, crossover kompak elektrik pertama Mini, yang direka untuk mencerminkan semangat mobiliti bandar yang mampan dengan semua elemen unik gaya klasik Mini. Turut dipersembahkan bersama model baharu ini adalah previu Mini Cooper S 5-Door baharu, yang diinspirasikan daripada model ikonik tiga pintu, dengan penekanan tambahan pada aspek praktikal. 

Kehadiran Mini Aceman baharu menandakan pengenalan model crossover pertama Mini dalam segmen kereta kecil premium, menggabungkan dimensi kompak dengan keselesaan yang luas dan pemanduan serba elektrik. Teguh mengekalkan identiti warisannya, Mini Aceman baharu mewakili tafsiran kontemporari pengalaman pemanduan go-kart ikonik Mini, yang menggabungkan teknologi inovatif, sistem bantuan moden, dan elemen reka bentuk Minimalis yang menjadi ciri utama jenama ini sekaligus melambangkan kelincahan serta keyakinan di jalan raya.

Sementara itu, previu Mini Cooper S 5-Door baharu direka berdasarkan rekaan ikonik Mini Cooper 3-Door dan menggabungkan kepraktisan dengan ciri sporty yang merupakan ciri utama Mini. Dengan jarak antara tayar yang lebih panjang, dua pintu tambahan dan kapasiti bagasi yang lebih besar, kenderaan ini menawarkan ruang dalaman yang lebih luas serta kemudahan tambahan kepada pemandu tanpa mempengaruhi reka bentuk kompaknya.

Mini Aceman baharu: Inovatif Unik, Namun Masih Mini. 

Mini Aceman baharu merangkumkan takrif reka bentuk baharu yang segar dan Minimalis, seiring dengan falsafah ‘Karisma Kesederhanaan’ Mini. Dengan rekaan yang kemas serta gaya yang menakjubkan, Mini Aceman baharu menyerlah dalam kalangan ramai sambil mengekalkan warisan ikonik keluarga Mini. Di bahagian hadapan, gril oktagon yang besar dibingkai dalam warna Vibrant Silver menjadi ciri visual yang menonjol dan dilengkapi dengan lampu utama LED yang unik, menawarkan tiga pencahayaan utama yang berbeza. Lampu moden dan bersudut ini meningkatkan penampilan ekspresif kenderaan, manakala rekaan bonet yang tajam pula memberikan profil hadapan yang berani dan tegas.

Rim jejari Hexagram bersaiz 19 inci dan pelindung tayar yang kukuh menonjolkan sifat sporty serta serba boleh Mini Aceman baharu, manakala rel bumbung dan pelindung skid yang bergaya menekankan karakter crossover pengembaraannya. Di bahagian belakang, permukaan horizontal dan lampu belakang LED tegak dalam tiga rekaan ikonik mencerminkan gaya klasik Mini yang tidak lapuk dek zaman.

Melangkah ke dalam Mini Aceman baharu, memperlihatkan ruang dalaman yang Minimalis dan mampan, dengan penekanan pada keselesaan dan kecanggihan. Fokus utama terletak pada paparan skrin sentuh OLED bulat 240mm beresolusi tinggi dikuasakan oleh Sistem Operasi 9 Mini yang baharu. Antara muka berbentuk bulat ini disepadukan dengan lancar ke dalam papan pemuka, menjadikannya titik tumpuan visual yang menonjol dalam kabin. Reka bentuk dalaman juga dipertingkatkan dengan penggunaan bahan mampan terkini, yang mana papan pemuka dan permukaan dalaman lain di dilapisi dengan fabrik kait kitar semula, menggantikan krom dan fabrik kulit terdahulu untuk pendekatan yang lebih mesra alam. Ruang dalaman yang luas, dengan ruang kaki yang selesa, serta reka bentuk yang mementingkan fungsi,  mencipta suasana kabin yang terang dan lapang, membolehkan setiap perjalanan dinikmati dengan penuh gaya serta keselesaan.

Paparan Head-Up Mini pula memastikan pemandu kekal fokus di jalan raya dengan memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, terus ke garis pandangan mereka. Ciri ini memudahkan pemandu kekal maklum tanpa perlu mengalihkan pandangan, seterusnya meningkatkan keselamatan dan kemudahan. Sistem bunyi  sekeliling Harman Kardon membawakan pengalaman audio yang imersif, sesuai untuk mereka yang gemar menikmati bunyi berkualiti tinggi ketika memandu. Direka untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan dinamik Mini Aceman, sistem audio premium ini menggabungkan ketepatan kejuruteraan dengan akustik yang kuat, memenuhi ruang kabin dengan audio yang berkualiti dan jelas.

Mini Aceman baharu membawa pengalaman digital ke tahap baharu menerusi Sistem Operasi 9 Mini, yang direka untuk menawarkan sambungan dan ciri yang diperibadikan dengan lancar. Paparan OLED berdefinisi tinggi berfungsi sebagai pusat utama untuk kawalan kenderaan, navigasi, media, dan telefoni, menyediakan antara muka yang sangat intuitif untuk pemandu serta penumpang.

Mini Aceman baharu juga memperkenalkan Mod Pengalaman Mini baharu yang membolehkan pemandu memperibadikan suasana pemanduan dengan pencahayaan ambien, bunyi, dan paparan grafik pada papan pemuka, bagi mencipta suasana yang unik dan imersif mengikut pilihan pemandu. Aplikasi Mini juga membolehkan fungsi canggih seperti kawalan jauh kenderaan, perancangan perjalanan, dan pemantauan aktiviti pengecasan, untuk memberikan pengalaman pemanduan yang terhubung dan berorientasikan digital. Kunci Digital Plus Mini juga tersedia, yang mengubah telefon pintar menjadi kunci kenderaan digital.

Mini Aceman baharu dikuasakan oleh motor sinkron kekal (PSM), memberikan tenaga yang mengagumkan sebanyak 218hp dan 330Nm tork pada tayar hadapan. Dengan masa pecutan 7.1 saat dari  0 hingga 100 km/j, Mini Aceman baharu memastikan pengalaman pemanduan go-kart Mini yang klasik tetap terpelihara, malah kini dengan tambahan kuasa elektrik. Bateri voltan tinggi 54.2 kW menawarkan jarak WLTP hingga 406 kilometer, menjadikan kenderaan ini serba boleh untuk pemanduan harian di bandar mahupun percutian hujung minggu. Prestasinya yang efisien menjamin keseronokan pemanduan sambil mengangkat nilai kemampanan.

Pengalaman pemanduan Mini yang ikonik masih ditawarkan dalam Mini Aceman baharu ini. Pusat gravitinya yang rendah dan casis yang diselenggara dengan penuh ketelitian memberikan pemanduan yang sangat responsif dan dinamik, di samping sistem pengendalian Servotronic yang menawarkan respons yang tepat. Penstabil pramuat adalah ciri standard, memastikan kecondongan kenderaan yang Minimum dan pengendalian yang luar biasa di selekoh.

Dalam mod GO-KART, pecutan Mini Aceman baharu menjadi lebih responsif, sekaligus menambahkan rasa sporty semasa pemanduan. Di samping itu, sistem had gelinciran tayar langsung, yang beroperasi lebih pantas dan cekap daripada sistem kawalan geseran biasa, memberikan cengkaman yang lebih baik di semua permukaan jalan seterusnya meningkatkan keseronokan serta keyakinan semasa pemanduan.

Mini Aceman baharu menawarkan pelbagai pilihan pengecasan untuk memastikan kemudahan dan fleksibiliti pemandu. Dengan pengecasan pantas arus terus (DC) hingga 95 kW, bateri dapat dicas dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam hanya 30 Minit, menjadikannya ideal untuk berhenti rehat yang pantas semasa perjalanan jauh. Di rumah atau stesen pengecasan arus ulang-alik (AC) awam, Mini Aceman baharu menyokong pengecasan hingga 11 kW, membolehkan pengecasan penuh dalam semalaman.

Kenderaan ini juga dilengkapi dengan pra-kondisi bateri automatik, memastikan prestasi pengecasan yang optimum dan membolehkan pengguna menetapkan waktu pengecasan atau menjadualkan kenderaan untuk dicas sepenuhnya pada waktu tertentu melalui aplikasi Mini.

Dari segi keselamatan, Mini Aceman baharu dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan standard dan pilihan yang direka untuk menjadikan pemanduan harian lebih selamat dan mudah. Ciri-ciri seperti Amaran Tukar Lorong, Maklumat Had Laju, dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek membantu pemandu memandu dengan yakin. Bantuan Parkir Plus menghapuskan tekanan ketika parkir, dengan ciri-ciri seperti Kawalan Jarak Parkir Aktif, Kamera Bantuan Undur, dan Paparan Menyeluruh 3D, yang membolehkan pemandu memarkir dan keluar dari ruang parkir dengan mudah. 

Mini Aceman baharu meningkatkan pengalaman pemanduan dengan keupayaan digital yang canggih, termasuk pakej Sambungan Mini, yang tersedia sebagai pilihan menambah baik melalui Mini Connected Store. Pakej ini menawarkan pendekatan yang fleksibel dan berasaskan langganan kepada pelanggan untuk mengakses fungsi tambahan kenderaan, daripada visualisasi bangunan 3D dan navigasi realiti terimbuh (AR) hingga laluan pengecasan yang dioptimumkan serta maklumat trafik langsung. Pilihan hiburan seperti permainan dalam kereta, penstriman video, dan akses kepada aplikasi pihak ketiga turut menambah nilai digital yang ditawarkan oleh Mini Aceman baharu. Selain itu, Pembantu Peribadi Pintar Mini lengkap dengan avatar animasi “Spike” yang membolehkan kawalan melalui suara, menjadikan pengalaman pemanduan lebih intuitif dan menarik.

Mini Aceman baharu memperkenalkan pelbagai pilihan warna terang yang mencerminkan personaliti beraninya. Dengan pilihan menarik seperti Rebel Red dan Indigo Sunset Blue, serta Melting Silver yang elegan dan sofistikated, palet warna Mini Aceman baharu dihasilkan untuk menarik perhatian semasa di jalan raya.

Mini Cooper S 5-Door baharu: Kepraktisan dan Rekaan Kontemporari Sepanjang Zaman.

Mini Cooper S 5-Door baharu menambahkan versatil terhadap rekaan ikonik model ini dengan dua pintu tambahan yang memudahkan akses ke tempat duduk belakang. Jarak antara tayar yang lebih panjang (+72mm) dan kepanjangan tambahan (+160mm) Mini Cooper S 5-Door baharu menjadikan ruang dalaman lebih luas tanpa menjejaskan rekaan dan proposisi klasik Mini. Dari hadapan, Mini Cooper S 5-Door baharu menampilkan lampu utama bulat yang ikonik dilengkapi dengan bantuan pancaran tinggi dan gril oktagon dengan bingkai hiasan hitam. Warna kontras bumbung dan penutup cermin sisi meningkatkan penampilan yang kemas dan bergaya.

Selain itu, bonet gaya ‘clamshell’ kenderaan ini memberikan sentuhan klasik Mini, manakala rim aloi Slide Spoke dua tona bersaiz 18 inci menambahkan penampilan sporty pada kereta tersebut. Di bahagian belakang pula, lampu belakang LED berbentuk segi tiga memberikan elemen reka bentuk yang tersendiri dengan pilihan tiga pencahayaan utama. Bukan itu sahaja, antena ‘bee-sting’ klasik beserta pemegang hitam horizontalnya menonjol dengan bumbung yang kontras sekaligus menambahkan keunikan kenderaan ini di samping memberi sentuhan sofistikated yang halus.

Melengkapkan reka bentuk luaran Minimalis Mini Cooper S 5-Door baharu, bahagian dalamannya menampilkan papan pemuka dan kemasan pintu dalam fabrik kait dua tona dan diperbuat daripada poliester kitar semula. Material mampan ini memberikan sentuhan yang halus dan mesra alam pada ruang kabin. Manakala, papan pemuka dihiasi permukaan tekstil yang kemas, menambah kualiti sentuhan kepada reka bentuknya. Kerusinya pula dilapisi dengan Vescin, iaitu sejenis kulit vegan berkualiti tinggi, dengan corak perforated houndstooth dan sisipan tekstil biru yang kontras, memberikan pengalaman duduk yang selesa dan bergaya.

Tambahan lagi, stereng sport turut menambahkan ciri dinamik kepada model ini. Selain itu, paparan Head-Up Mini memastikan pemandu dapat memberi fokus pada pemanduan dengan data kelajuan dan maklumat penting lain dipaparkan tanpa pemandu perlu mengalihkan pandangan daripada jalan. Sama seperti Mini Aceman baharu, Mini Cooper S 5-Door baharu juga dilengkapi dengan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon yang meningkatkan setiap pemanduan dengan menjadikan kabin seperti studio peribadi menerusi kejelasan serta kedalaman audio yang mengagumkan.

Mini Cooper S 5-Door baharu juga menampilkan gabungan sempurna antara keanggunan dan fungsi moden di seluruh ruang dalamannya, dengan unit interaksi Mini yang terletak di tengah kabin. Skrin sentuh OLED 240mm menawarkan antara muka serba digital yang dikuasakan oleh Sistem Operasi 9 Mini. Pengalaman pengguna yang intuitif ditingkatkan dengan struktur menu dan pencahayaan ambien yang dioptimumkan yang dipancarkan di belakang paparan untuk memberikan skema warna yang terang dan menarik terhadap papan pemuka.

Bar togol di bawah skrin papar menyepadukan kawalan kenderaan, memberikan akses mudah kepada fungsi penting seperti brek parkir, kunci Mula/Berhenti, dan Mod Pengalaman. Ciri standard lain termasuk sistem keselesaan, pakej cermin dalaman dan luaran, cermin pandang belakang dalaman dengan fungsi anti-silau automatik, serta sambungan ISOFIX untuk memastikan kerusi kereta kanak-kanak dapat dipasang dengan mudah dan selamat di dalam kenderaan. 

Mini Cooper S 5-Door baharu dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter yang hebat, menghasilkan 204hp dan mampu mencapai pecutan 0-100 km/j yang mengagumkan dalam hanya 6.8 saat, dengan kelajuan maksimum 242 km/j. Ditingkatkan oleh teknologi TwinPower Turbo Mini, enjin ini menggabungkan suntikan bahan api terus dan port pada tekanan 350 bar, bersama dengan sistem penyejukan dan ekzos yang canggih. Dipadankan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan klac berkembar, Mini Cooper S 5-Door baharu memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan lincah, sambil mengekalkan rasa pemanduan go-kart yang merupakan ciri mercu Mini.

Dinamik pemanduan Mini Cooper S 5-Door baharu direka untuk memberikan pengalaman pemanduan ikonik Mini. Casis, yang diambil daripada model terdahulu, telah dioptimumkan untuk prestasi pemanduan yang lebih baik, dengan pengendalian mantap dicapai melalui penstabil pramuat yang ditambah baik serta sistem suspensi dan redaman yang dioptimumkan, membolehkan pengendalian yang lebih tepat. Sistem pengendalian Servotronic standard memastikan kemampuan mengendali selekoh pada kelajuan tinggi dengan usaha yang Minimum untuk memberikan keselesaan dan kelasakan mengikut pilihan pemandu.

Selain itu, Mod Pengalaman Mini, termasuk mod GO-KART, meningkatkan ciri sporty kereta ini dengan melaraskan pacuan kuasa dan tetapan stereng untuk kelincahan yang optimum. Mod pemanduan ini, bersama dengan respons stereng dan kawalan cengkaman yang boleh disesuaikan, menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan diperibadikan, mengangkat DNA perlumbaan ikonik Mini.

Seperti Mini Aceman baharu, Mini Cooper S 5-Door baharu turut menawarkan pelbagai ciri keselamatan canggih yang bertujuan meningkatkan sokongan serta perlindungan terhadap pemanduan. Kenderaan ini dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti Amaran Tukar dan Keluar Lorong serta Amaran Perlanggaran Hadapan dan Lintasan Trafik Belakang bagi memastikan kewaspadaan maksimum pemandu. Bantuan pemanduan yang ditingkatkan juga termasuk seperti Kawalan Pengendalian Aktif dengan fungsi Berhenti & Jalan,  Bantuan Kawalan Lorong dan Bantuan Had Kelajuan yang mengoptimumkan pemanduan di lebuh raya. Bantuan Parkir Plus menawarkan bantuan parkir dan mengundur melalui ciri seperti Paparan Menyeluruh 3D dan Bantuan Undur yang dapat dilihat hingga 50 meter.

Mini Cooper S 5-Door baharu juga menawarkan pelbagai pilihan warna ceria yang menyerlahkan reka bentuk ekspresif dan ikoniknya. Selain warna klasik seperti Chili Red dan Nanuq White, Mini memperkenalkan warna eksklusif seperti Icy Sunshine Blue dan Legend Grey, menambahkan sentuhan moden dan dinamik. Pilihan warna berani ini membolehkan pemandu mengekspresikan gaya unik mereka sambil mengangkat semangat klasik dan pengembaraan Mini.

Bantuan Tepi Jalan Mini. 

Mini Aceman baharu dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan 5 Tahun Mini Malaysia, yang tersedia untuk semua kenderaan Mini baharu dengan senarai perkhidmatan yang komprehensif termasuk Bantuan Kemalangan dan Pertolongan 24-Jam, 365 hari setahun melalui panggilan telefon dan bantuan di lokasi, Perkhidmatan Tunda Percuma dan apabila diperlukan (lebih 200km dari rumah kediaman), Kenderaan Gantian, Mobiliti Lancar, Penginapan, Penyelesaian Perkhidmatan Mobiliti serta Perkhidmatan Repatriasi. 

 Program Bantuan Tepi Jalan Mini ini boleh diakses dengan menghubungi 1800-88-8808.

Perkhidmatan Dalam Talian Mini.

Menjadualkan janji temu servis kini lebih mudah. Program perkhidmatan dalam talian baharu membolehkan pelanggan menjadualkan keperluan servis terus dengan Pengedar Sah Mini pilihan mereka melalui pautan berikut: https://service.Mini.my/.

Pembiayaan Mini.

Dengan pembiayaan Easy Drive daripada BMW Group Financial Services Malaysia, Mini Aceman baharu boleh dimiliki bermula dari RM 2,311.00 (berdasarkan anggaran pinjaman 75 peratus, jarak pemanduan 100,000km untuk tempoh lima tahun). 

Harga jualan yang disyorkan untuk Mini Aceman baharu, serta anggaran harga untuk Mini Cooper S 5-Door baharu beserta SST (atas jalan, tanpa insurans) adalah:

 

Mini Aceman baharu RM 213,888.00
(Tambahan) Waranti Lanjutan Mini & Pakej Servis RM 7,400.00
Mini Cooper S 5-Door baharu (Anggaran) RM 293,000.00
(Tambahan) Waranti Lanjutan Mini & Pakej Servis (Anggaran) RM 10,400.00

Mini Aceman akan dipamerkan di semua Pengedar Sah Mini bermula dari 8 Oktober 2024. Di samping itu, Mini Aceman baharu juga akan dipersembahkan di Mini Roadshow anjuran di semua bandar-bandar utama, bermula dengan di The Exchange TRX pada 9 Oktober 2024 hingga 13 Oktober 2024.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan