Piston.my

Pengedar Proton e.MAS Mendapat Perkongsian Terkini daripada Lawatan R&D Geely di China

PRO-NET, anak syarikat pembuat kereta nasional Proton mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang telah diumumkan pada bulan Jun 2024 yang lalu sekaligus menekankan komitmen PRO-NET dalam meningkatkan pasaran EV di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.

Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS ini disertai dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou China, yang disertai lebih daripada 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia. Lawatan selama tiga hari ini bertujuan untuk memberikan peluang untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input  mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.

“Sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun yang lalu, kecepatan pembangunan menjelang pelancaran model pertama kami harus diberi pujian. Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV  nasional pertama Proton. Sementara itu, respons bersemangat yang diterima daripada pengurus pengedar yang menyertai lawatan Geely amat memberangsangkan. Penyelidikan yang mendalam Geely mengenai pembangunan teknologi canggih telah meningkatkan kesediaan dalam mengendalikan rangkaian pengedar Proton e.MAS mereka sambil membangunkan ekosistem EV di Malaysia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Para pengedar melawat ke pusat GRI di Teluk Hangzhou untuk mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi yang dibina di dalam model Proton e.MAS 7 iaitu model sulung jenama ini. Selain daripada sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang untuk merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan yang telah disediakan.

Para pengedar turut singgah di Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.

Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga turut diatur. Hal ini kerana usaha dalam meningkatkan tanda aras piawaian yang telah ditetapkan kepada pengedar dan prosedur-prosedur mengenai perkhidmatan pelanggan, strategi jualan dan latihan kepada kakitangan. Para pengedar kagum melihat  bilik pameran yang premium, kualiti piawaian yang terbaik, prosedur moden yang ditunjukkan dan bersedia untuk mengintegrasikan elemen tersebut ke dalam pengedar Proton e.MAS pada masa hadapan.

“Kesempatan kami untuk melawat GRI sangat membuka mata. Merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina, diuji, dan disahkan mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan Proton yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia,” kata Abdul Hakim Bin Basri, Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu – JM Otomobil (EV).

Dengan pengalaman dan strategi yang baru, para pengedar Proton e.MAS berhasrat untuk membina pusat pengedaran yang bukan hanya sekadar tempat jualan, tetapi juga hab inovasi dan komuniti untuk memberi inspirasi kepada individu untuk mengetahui teknologi EV akan datang.

Pengembangan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS menandakan langkah yang signifikan dalam mewujudkan rangkaian perkhidmatan pelanggan yang semakin meluas di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pengembangan strategik ini menekankan komitmen PRO-NET dalam menyediakan sokongan yang komprehensif kepada pelanggan sambil memajukan Malaysia ke arah masa depan mobiliti lestari.

“Saya sangat kagum bukan hanya dengan penyelidikan dan pembangunan teknologi yang dijalankan oleh Geely, tetapi juga pengalaman premium di pengedar yang kami lawati. Secara peribadi, saya terinspirasi dan bersemangat untuk membawa elemen tersebut ke dalam pengedar Proton e.MAS kami di Malaysia.” Datuk Andrew Quek Tze Kean, Pemilik Pengedar, Proton e.MAS Shah Alam – SG Car.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan