Great Wall Motor (GWM) Malaysia dengan bangganya mengumumkan kejayaan pengeluaran unit ‘Complete Knock-Down’ (CKD) pertama GWM Haval H6 HEV di kilang pemasangan baru mereka, EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka. Model ini dijangka dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2024 dan akan dihantar kepada pembeli selepas itu.
GWM Haval H6 HEV adalah model keempat yang diperkenalkan di Malaysia, selepas Ora Good Cat, Ora 07, dan GWM Tank 300. Model ini juga menjadi yang pertama menerima pemasangan tempatan, menandakan langkah penting dalam strategi GWM untuk memperluas kehadirannya di peringkat global dan memenuhi permintaan bagi kenderaan mesra alam di Malaysia.
Pada peringkat awal, kilang CKD baharu di Melaka mensasarkan pengeluaran sebanyak 10,000 unit setahun, dengan rancangan untuk meningkatkan kapasiti kepada 300,000 unit pada fasa kedua. GWM berusaha memastikan setiap kenderaan yang dihasilkan memenuhi standard kualiti tertinggi melalui lebih daripada 12 pemeriksaan kualiti dan pelbagai ujian keselamatan.
Model GWM Haval H6 HEV ini dilengkapi dengan sistem ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT), yang menggabungkan kuasa petrol dan elektrik untuk memberikan pemanduan yang lancar dan penjimatan bahan api. SUV bersaiz sederhana ini menawarkan ciri-ciri yang sesuai untuk keluarga, seperti ruang kaki belakang yang luas, but berkapasiti besar, serta tempat duduk berventilasi untuk keselesaan maksimum.
GWM Haval H6 HEV juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) Tahap 2, meningkatkan keselamatan dan pengalaman pemanduan. Model ini dijangka dijual di bawah harga RM145,000, dengan tempahan kini dibuka. Pelanggan yang menempah sebelum pelancaran rasmi akan menikmati tawaran istimewa, termasuk rebat eksklusif dan waranti enjin serta sistem hibrid yang meliputi sehingga 1,000,000 km.