Proton telah melancarkan Cabaran Kajian Kes Perniagaan yang menarik hampir 300 pelajar dari enam universiti awam dan swasta di Malaysia, dengan tujuan untuk terus mengembangkan kumpulan pekerjanya melalui program Proton Young Talent (PYT).
Cabaran Kajian Kes Perniagaan ini adalah pertandingan yang memerlukan peserta merumuskan dan membentangkan penyelesaian terbaik kepada kajian kes perniagaan dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan menggunakan analisis data, pertimbangan perniagaan, dan inovasi. Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar universiti dari semester pertama hingga terakhir dengan minimum empat hingga enam ahli setiap kumpulan.
Untuk memulakan cabaran selama tiga bulan yang bermula pada bulan September, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, telah menyampaikan perkongsian mengenai “Perjalanan Kebangkitan Proton” pada 18 September, yang dihadiri oleh 150 pelajar di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), salah satu daripada enam universiti yang menyertai pusingan ini.
Dalam sesi terkini di UTP, sejumlah 17 kumpulan mengambil bahagian dalam cabaran, dengan lima pasukan dipilih untuk pembentangan akhir. Setelah penilaian teliti oleh panel yang terdiri daripada pengurusan kanan Proton dan UTP, tiga pemenang terbaik diumumkan dan menerima tawaran bersyarat untuk menyertai program PYT pada tahun 2025.
Terutamanya, lapan pelajar dari UTP telah menyelesaikan latihan industri di Proton, dengan empat graduan kini bertugas di sana. Antara acara akan datang termasuk pameran kerjaya dan pusat penilaian yang dijadualkan di UTP pada bulan Oktober, yang bertujuan untuk memajukan program PYT dan menilai calon-calon yang berpotensi.
Kesemua enam universiti, yang terdiri daripada 60 kumpulan pelajar – termasuk Universiti DRB-HICOM Automotif Malaysia di Pahang dan Universiti Malaya di Kuala Lumpur – telah dipilih berdasarkan latar belakang yang kukuh dalam kursus berkaitan kejuruteraan dan potensi sumbangan mereka kepada masa depan industri automotif. Proses penilaian akan dijalankan secara berperingkat hingga November tahun ini, dengan ketua bahagian dari Proton akan memberi pembentangan di beberapa universiti.
Cabaran perniagaan dinilai berdasarkan tujuh kriteria pemarkahan, iaitu pengenalpastian isu, analisis mendalam, kebolehlaksanaan dan rasional, pemikiran inovatif dan kreatif, aplikasi pengetahuan dan teori akademik, organisasi pasukan, serta kehadiran pentas dengan penimbangan yang berbeza. Pemenang tempat pertama di peringkat universiti akan menerima hadiah tunai RM2,000, manakala juara di peringkat akhir akan membawa pulang hadiah tunai RM5,000. Pemenang tempat pertama dari semua universiti akan bertanding di peringkat akhir, yang akan diadakan di Lembah Klang pada pulan November.