Piston.my

BFGoodrich Menaikkan Tanda Aras Tayar dengan Pelancaran Tayar “All-Terrain T/A KO3”

BFGoodrich Malaysia dengan rasminya memperkenalkan anggota baharu dalam keluarga tayar “All-Terrain” miliknya, iaitu tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3. Tayar semua landasan yang baharu ini telah dirungkaikan di sidang pelancaran media oleh syarikat tersebut di Terra, Petaling Jaya. 

Menyusuli prestasi luar biasa tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2, BFGoodrich telah membangunkan tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 bagi memenuhi keperluan para pengembara masa kini dengan merangkumkan teknologi tayar serba inovatif yang baharu ke dalam sebuah produk yang membekalkan prestasi lebih unggul bagi semua jenis landasan. Meniti legasi ‘off-road’ BFGoodrich yang gemilang, tayar baharu ini juga akan didatangkan kembali dengan tulisan putih menimbul pada dinding sisi, mempamerkan jata “Baja Champion” pada tayar ini juga.

Tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 mengatasi prestasi model terdahulu, tayar KO2 dari sudut daya tahan bunga tayar, ketegaran dan juga cengkaman – menjadikan ia pilihan yang terunggul bagi sesi pengembaraan di luar jalan raya. Terutamanya di Malaysia di mana wujudnya pelbagai jenis landasan, tidak kira berturap mahupun tidak, tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 dijuruterai untuk memenuhi keperluan para pengembara di sini.

Daya tahan bunga tayar: BFGoodrich telah menjuruterai tayar All-Terrain T/A KO3 dengan corak bunga yang terkini serta formulasi bunga tayar semua landasan yang baharu bagi menjanjikan daya tahan serta jangka tahan, termasuk bagi kegunaan di atas landasan berbatu. Tayar All-Terrain T/A KO3 mempunyai tapak yang teroptimum serta lurah mengunci 3D yang mendalam, dirumus untuk mengagihkan tekanan secara sekata agar kehausan tayar ini juga menjadi sekata. Oleh itu, All-Terrain T/A KO3 mempunyai jarak perbatuan dan prestasi kehausan yang lebih baik.

Ketegaran: Teknologi CoreGard yang dinaik taraf, yang turut dimuatkan di dalam BFGoodrich Baja T/A KR3, membekali BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 ketegaran dinding sisi yang lebih cemerlang, justeru sesuai menggalas jata “Baja Champion”. Teknologi ini mengunjurkan getah bahu yang rintang belahan dan lebam hingga ke dinding sisi, maka ia menawarkan perlindungan bagi zon gagal dinding sisi yang amat kritikal. Rekaan Pesongan Canggih membantu mengelakkan objek daripada tersangkut dan membelah dinding sisi – justeru sempurna untuk pemanduan di atas semua jenis landasan.

Cengkaman: Dalam kondisi yang paling mencabar sekalipun, tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 mampu memberikan daya cengkaman yang unggul. Tayar All-Terrain T/A KO3 dijuruterai dengan alur mengunci 3D yang mendalam, di samping rekaan bahu bergerigi dan Turusan Anti Lumpur yang menyaksikan penambahbaikan lanjutan daripada tayar KO2 yang turut mempunyai daya cengkaman lumpur dan salji yang cemerlang, yang membolehkannya meraih penarafan “Three-Peak Mountain Snowflake” kerana mampu mengharungi pemanduan dalam kondisi salji yang amat buruk. Dengan elemen bunga tayar saling mengunci, tayar ini dirumus untuk memaksimumkan pengendalian dan cengkaman bagi perjalanan di atas dan di luar jalan raya dengan menstabilkan bahagian pusat bunga tayar. Formulasi bunga tayar semua landasan tersebut turut menaik taraf cengkaman dalam kondisi basah, mampu berhenti 4.2M lebih dekat berbanding KO2.

BFGoodrich Malaysia akan memperkenalkan lebih daripada 62 saiz sepanjang 24 bulan yang akan datang dengan 39 saiz yang akan dilancarkan menerusi tiga fasa bermula September 2024. 19 saiz lagi akan disediakan pada tahun 2025 dengan 4 saiz yang berbaki bakal dirungkaikan pada tahun 2026 untuk melengkapkan barisan produk terbaharu ini. Harga runcit saranan bagi tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO3 akan bermula daripada RM825 hingga RM2946.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan