Piston.my

BMW Malaysia Pamerkan Generasi Terkini 5 Series – 520i M Sport dan i5 eDrive40 M Sport

BMW Group Malaysia mempersembahkan generasi terbaharu BMW 5 Series pada acara SKY5PACE yang diadakan di pusat Kuala Lumpur, sebuah acara yang meraikan teknologi automotif terkini, prestasi, dan legasi berterusan jenama ini dalam segmen sedan perniagaan premium. 

BMW i5 eDrive40 M Sport

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “BMW 5 Series telah sekian lama mengungguli portfolio BMW Group, baik di seluruh dunia mahupun di Malaysia. Sejak diperkenalkan pada tahun 1972, BMW 5 Series merupakan peneraju dalam segmen sedan eksekutif premium.”

BMW 520i M Sport

Beliau menambah, “Hari ini, dengan kehadiran BMW 520i M Sport pemasangan tempatan bersama BMW i5 eDrive40 M Sport elektrik, kami berbesar hati untuk berkongsi kisah kejayaan evolusi BMW 5 Series di Malaysia. Untuk makluman, generasi kelima BMW 5 Series merupakan kenderaan BMW pertama yang dipasang di sini pada tahun 2004, sekaligus menandakan 20 tahun komitmen BMW Group Malaysia terhadap Malaysia sebagai pusat di Asia Tenggara untuk pemasangan kenderaan premium bagi rantau ini. Sehingga kini, BMW Group Malaysia masih merupakan pengeluar dan pengeksport kenderaan premium terbesar di rantau ini dengan lebih 10,000 kenderaan berjaya dieksport sejak 2018.” 

i5 eDrive40 M Sport

Berlatarbelakangkan pemandangan menakjubkan langit Kuala Lumpur, acara SKY5PACE juga merupakan inisiatif pengeluar kenderaan premium ini dalam memenuhi kehendak rangkaian kuasa yang pelbagai, di samping menonjolkan keterbukaan BMW Group terhadap teknologi menerusi seleksi kenderaan lain, seperti BMW i7 xDrive60 M Sport dan BMW 750e xDrive M Sport, yang turut dipamerkan pada acara tersebut.

520i M Sport

Tumpuan utama acara terletak pada model terbaharu dalam portfolio BMW 5 Series di Malaysia iaitu BMW 520i M Sport pemasangan tempatan; menunjukkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kemampuan pemasangan tempatan. Selain BMW 520i M Sport adalah BMW i5 eDrive40 M Sport elektrik dengan pilihan kelengkapan M Performance, yang melambangkan komitmen BMW Group Malaysia terhadap mobiliti masa hadapan dan keterbukaan BMW Group terhadap teknologi, di samping menawarkan lebih banyak pilihan rangkaian kuasa serta pilihan yang boleh diperibadikan untuk pelanggan memperibadikan BMW 5 Series mereka.

BMW 520i M Sport – Pertemuan Legasi dan Inovasi.  

BMW 520i M Sport pemasangan tempatan meneruskan legasi BMW 5 Series di Malaysia. Varian ini memperkenalkan elemen sporti dan gaya yang dipertingkat daripada daya tarikan dinamik sedia ada model ini. Bukan itu sahaja, pemasangan tempatan bagi siri model BMW Group yang paling berjaya ini juga menegaskan keyakinan terhadap Malaysia sebagai pusat strategik dalam operasi serantau BMW Group. Melalui pelaburan berterusan dalam pemasangan tempatan dan pengedaran serantau, BMW Group mengekalkan kehadiran yang kukuh di rantau ini, meletakkannya di barisan hadapan dalam membawakan pengalaman automotif premium di seluruh Malaysia serta pasaran serantau yang lain. 

BMW i5 eDrive40 M Sport dengan pilihan kelengkapan M Performance – Sedan Perniagaan Elektrik yang Visionari.

BMW i5 eDrive40 M Sport merupakan ikon reka bentuk sedan moden dan inovasi menerusi kelengkapan ciri-ciri teknologi canggihnya yang telah mentakrifkan semula standard Mobiliti Elektrik di pasaran Malaysia. Mengekalkan keanggunan dan prestasi dinamik sedan perniagaan paling ikonik di dunia, BMW i5 eDrive40 M Sport menawarkan Pemilikan Elektrik Premium yang terbaik dengan jarak kuasa elektrik yang luar biasa, kemampuan pengecasan yang dipertingkatkan, dan ketersambungan pemanduan yang intuitif. 

Pada acara SKY5PACE, BMW i5 eDrive40 M Sport yang dipamerkan dilengkapi dengan pilihan kelengkapan M Performance, untuk menunjukkan kepelbagaian pilihan yang boleh diperibadikan oleh pelanggan di Malaysia. Pilihan tersebut termasuk pemisah hadapan M Performance, skirt sisi M Performance, penyebar udara belakang M Performance, spoiler belakang M Performance, penutup cermin sisi luar M Performance, dan rim aloi ringan jejari silang M Performance bersaiz 21 inci 943 M Bicolor (Jet Black, dimesin berkilat), dengan set lengkap tayar musim panas.

Program Kewangan Dinamik. 

Untuk memudahkan pemilikan kenderaan BMW, BMW Group Financial Services Malaysia menawarkan kadar yang menarik dan pendekatan yang fleksibel untuk pembiayaan serta insurans melalui pembiayaan BMW Straight Line atau pembiayaan BMW Easy Drive.

Dengan pembiayaan Easy Drive daripada BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 520i M Sport menawarkan kadar menarik dengan ansuran bulanan sehingga 30 peratus lebih rendah dan Nilai Masa Depan Terjamin (GFV) untuk kenderaan pada akhir tempoh pembiayaan, dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM3,824.

Dengan Pelan Pembiayaan Easy Drive daripada BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i5 eDrive40 M Sport boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM4,492 (berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun).

Pelanggan juga boleh membiayai BMW i5 eDrive40 M Sport mereka bermula dari 0.88 peratus menerusi pembiayaan BMW Straight Line daripada BMW Financial Services. Dengan Pelan Pembiayaan Straight-Line, pelanggan boleh memiliki BMW i5 eDrive40 M Sport dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM4,416 (berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus untuk tempoh tujuh tahun).

Pengalaman Pemilikan Premium yang Lengkap.

Pemilik BMW 520i M Sport dan BMW i5 eDrive40 M Sport juga akan menikmati pengalaman Pemilikan Premium BMW Group Malaysia yang menyeluruh, merangkumi:

  • Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan BMW
  • Servis Dalam Talian BMW
  • Kereta ganti percuma untuk dua tahun*

* terpakai untuk Kenderaan Elektrik Bateri apabila kenderaan dibiayai dengan Pembiayaan BMW Easy Drive dan diinsuranskan dengan Insurans Motor Komprehensif BMW.

Pemilik BMW i5 eDrive40 M Sport juga akan menikmati jaminan bateri selama lapan tahun atau apabila mencecah 160,000 km daripada BMW (yang mana dicapai terlebih dahulu).

Harga untuk BMW 520i M Sport ditetapkan pada RM349,800 tanpa insurans, dengan tambahan pilihan RM26,900 untuk Waranti Lanjutan 5 Tahun dan Pakej Servis. Sementara itu, BMW i5 eDrive40 M Sport berharga RM399,800 tanpa insurans, dan pelanggan boleh memilih pakej jaminan dan perkhidmatan yang sama dengan kos tambahan RM20,300.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan