Piston.my

Dua Lokasi Pendaftaran Tag RFID VEP Tambahan Dibuka

Bermula Ahad ini, 22 September, dua lokasi tambahan di Johor akan mula beroperasi bagi memudahkan pendaftaran dan pemasangan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk pemilik kenderaan warga Singapura. Menurut Bernama, lokasi baharu ini adalah di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Taman Daya dan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan di Larkin, masing-masing dengan kapasiti untuk menampung 800 dan 400 kenderaan sehari.

Pada masa ini, satu-satunya lokasi untuk pemasangan tag RFID VEP ialah Pusat Pengumpulan VEP (VCC) di Danga Bay, yang mempunyai kapasiti terhad sebanyak 300 kenderaan sehari. Dengan penambahan dua lokasi baharu itu, keseluruhan kapasiti pemasangan harian akan meningkat kepada 1,500 kenderaan, menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

“Usaha ini bagi menjadikan proses pemasangan tag RFID VEP lebih lancar bagi pemilik kenderaan warga Singapura yang telah melengkapkan pendaftaran dalam talian, dengan bantuan disediakan oleh pegawai JPJ di lokasi berkenaan,” kata Datuk Aedy Fadly dalam satu kenyataan.

Kementerian Pengangkutan melalui JPJ akan mula menguatkuasakan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura mulai 1 Oktober. Pemilik kenderaan Singapura digesa mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP secepat mungkin bagi mengelak sebarang isu semasa masuk atau keluar. Malaysia.

Untuk pendaftaran dan butiran lanjut mengenai tag RFID VEP, pemilik kenderaan boleh melayari laman web rasmi di https://vep.jpj.gov.my.

Kegagalan untuk mematuhi peraturan VEP boleh mengakibatkan penalti, kerana memandu kenderaan asing tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Subseksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan