Piston.my

Program Volvo Iron Women Sokong Penglibatan Wanita Sebagai Pemandu Trak Tugas Berat

Sesungguhnya kaum wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia. Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan pemandu trak tugas berat yang mahir, Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) telah memperkenalkan inisiatif Volvo Iron Women di Malaysia. Berkat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai rakan strategik, Volvo Trucks baru-baru ini meraikan kejayaan lima wanita menamatkan kursus dan kini ditauliahkan sepenuhnya sebagai pemandu trak tugas berat. 

“Program Iron Women Volvo telah mencapai kejayaan besar di peringkat global dan kami teruja untuk menawarkan peluang menarik ini di Malaysia sebagai program perintis di rantau Asia Tenggara,” kata Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selvén, di majlis penyampaian sijil Program Volvo Iron Women.

Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selvén

Mengulas mengenai potensi program ini di Malaysia, Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn Bhd, Anthony O’Connell menambah, “Program Volvo Iron Women memperlihatkan komitmen kami kepada usaha mendidik wanita mendapatkan kelayakan sebagai pemandu lori komersial tugas berat. Kami amat mengalu-alukan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bekerjasama dengan kami untuk meluaskan program Iron Women dalam jangka panjang. Graduan Iron Women kami benar-benar memberi inspirasi dan kami berbesar hati untuk memainkan peranan memperkasakan mereka untuk menjana sumber pendapatan untuk keluarga dan menjadi bakat yang dihargai dalam industri.”

Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn Bhd, Anthony O’Connell

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Yang Berhormat Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri, yang menghadiri majlis penyampaian sijil berkata dalam ucapannya, “Kerjasama KPWKM dengan Volvo Trucks menerusi inisiatif Iron Women memperlihatkan kepentingan kerjasama awam-swasta yang membawa impak besar. Saya percaya kita beransur-ansur melangkah maju untuk merapatkan jurang jantina di tempat kerja. Tahniah kepada graduan Iron Women yang menamatkan latihan dengan cemerlang. Tidak lupa juga ahli keluarga mereka yang memberikan sokongan padu untuk membolehkan kumpulan Iron Women kita memberikan perhatian penuh kepada program latihan masing-masing.” 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Yang Berhormat Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri

Yang Berhormat Menteri juga memberi pengiktirafan kepada Taipanco Sdn Bhd, yang bakal mengambil kumpulan graduan yang pertama ini untuk bekerja dan sekali gus menjadi antara segelintir peserta industri yang menyedari nilai pemandu trak tugas berat wanita sebagai aset berharga untuk mengendalikan angkatan kenderaan mereka. 

Kementerian menambah bahawa ia akan memberikan sokongan dengan memberikan ilmu dan kemahiran kepada graduan Volvo Iron Women untuk menceburi industri yang dikuasai lelaki, terutamanya dengan matlamat untuk mengenal pasti dan menangani sebarang bentuk gangguan prasangka jantina dengan penuh yakin. 

Antaranya termasuk menyokong program Volvo Iron Women selama dua tahun, kaunseling dan latihan untuk gangguan prasangka jantina dan menyediakan talian khas bagi pemandu wanita yang memerlukan kaunseling dan nasihat. Kementerian juga akan membantu mengenal pasti dan mengesyorkan calon yang sesuai sebagai peserta. Dengan menyediakan sistem sokongan bagi wanita, pihak Kementerian berharap untuk menyediakan cara yang mudah dan selamat untuk lebih ramai wanita menceburi sektor ekonomi baharu, terutamanya yang lazimnya dikuasai oleh kaum lelaki. 

“Kami percaya bahawa selain daripada mempunyai angkatan trak yang boleh dipercayai, melahirkan pemandu trak yang mahir dan boleh dipercayai juga penting untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan kami. Setelah terlibat dalam industri logistik selama lebih dua dekad, kami melihat potensi besar dalam usaha memperkasakan dan melibatkan wanita untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat bagi pemandu trak mahir,” kata Pengarah Eksekutif Taipanco Sdn Bhd, Dato’ Nazari Akhbar.

Pengarah Eksekutif Taipanco Sdn Bhd, Dato’ Nazari Akhbar

Program Volvo Iron Women dirangka untuk mengasah kemahiran calon dari mula hingga akhir, bermula dengan kelas dan peperiksaan yang dikendalikan oleh institut memandu bertauliah untuk mendapatkan lesen Kelas E bagi memandu kenderaan berat. Selepas menjalani penilaian kesihatan penuh, calon kemudian maju ke peringkat seterusnya untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dengan menghadiri ceramah tujuh jam dan menduduki peperiksaan teori, yang kosnya ditanggung oleh syarikat majikan. Lesen GDL dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kenderaan ringan, kenderaan berat (kejur) dan kenderaan bersendi. Program Volvo Iron Women di Malaysia memberi tumpuan kepada kenderaan bersendi. 

Kumpulan pertama graduan Volvo Iron Women terdiri daripada lima wanita berusia antara 27 tahun dan 40 tahun. Tiga daripada lima calon merupakan ibu, dengan salah seorang ialah ibu tunggal kepada lima orang anak.  Pada hari pertama latihan, kelima-lima mereka hadir dengan tahap pengalaman berbeza dalam industri pengangkutan, daripada pemandu baharu kepada pemegang lesen Kelas E sedia ada untuk Trak Kejur. 

Volvo Trucks juga menerapkan kursus tiga modul yang merangkumi teori, praktikal dan penilaian yang meliputi semua aspek latihan pemandu, antara lain termasuk pematuhan, pengurusan kelesuan, penyambungan dan pemisahan treler dan pemanduan berhemah. Selepas menamatkan kursus, kelima-lima wanita akan diambil bekerja oleh Taipanco Sdn Bhd dan menjalani latihan pengenalan yang dikendalikan pemandu berpengalaman yang berperanan sebagai mentor. 

Selain daripada mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dalam pembangunan wanita menghasilkan kesan pengganda kerana wanita kemungkinan besar melaburkan semula sebahagian besar daripada pendapatan mereka ke dalam keluarga dan masyarakat. 

Pengambilan bagi program Volvo Iron Women 2025 telah dibuka secara rasmi, dengan dua kumpulan pelatih dijadualkan diambil untuk separuh pertama dan kedua tahun.  Inisiatif ini berazam mentauliahkan kira-kira 100 pemandu trak tugas berat wanita menjelang akhir 2025.  Tempoh program mungkin mengambil masa antara tiga hari bagi pemegang lesen E- GDL sedia ada dengan tahap pengalaman tertentu, hingga lapan minggu bagi mereka tanpa lesen yang baru belajar memandu trak. 

 Program Volvo Iron Women ialah sebuah inisiatif global yang dimulakan pada 2016. Langkah memperkenalkan program di Malaysia mendapat sambutan baik oleh semakin banyak syarikat logistik kerana permintaan tinggi bagi pemandu kenderaan tugas berat, sejajar dengan anggaran pertumbuhan industri pengangkutan dan logistik Malaysia. 

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan