Piston.my

Proton Membuka Pusat Pergudangan Bahagian Baru Di Sabah

Proton teruja untuk mengumumkan  pengembangan dan pelancaran rasmi pusat pergudangan bahagian baru (RPC) di Kota Kinabalu, Sabah, selepas  pelancaran kemudahan serupa di Sarawak tahun lepas. Tambahan terbaru kepada operasi penyimpanan dan  pengedaran alat ganti syarikat ini mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30% berikutan  peningkatan kapasiti pengeluaran daripada Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) di Malaysia Barat serta alat  ganti yang diperoleh melalui penghantaran terus dari luar negara. Ini adalah untuk memenuhi permintaan yang  semakin meningkat di negeri ketiga tertinggi untuk penjualan kenderaan Proton di Malaysia. 

Terletak di kawasan komersial di Inanam, RPC terbaru Proton mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki  persegi, iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya. Ia boleh menerima sebanyak enam kontena  alat ganti di lokasi secara serentak berbanding dengan dua kontena sebelum ini. Kemudahan ini kini boleh  memproses purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama  tiga bulan. Dengan lebih banyak ruang penyimpanan untuk alat ganti, masa penghantaran ke pengedar dan  pelanggan dapat dikurangkan. 

RPC Proton di Malaysia Timur boleh mengendalikan sehingga 28 kontena dari Malaysia Barat dan luar negara  setiap bulan, iaitu peningkatan kapasiti daripada 24 kontena sebulan. Dengan peningkatan penghantaran alat  ganti, pemenuhan pesanan syarikat di Sabah dijangka akan meningkat secara pesat dengan keupayaan untuk  menyimpan stok selama tiga bulan.  

PPCSB juga telah melancarkan sistem pengurusan gudang (WMS) baru di semua lokasi awal tahun ini. Ia  membolehkan kapasiti penghantaran harian di RPC terbaru meningkat sebanyak 66% kepada 300 baris pada  bulan Julai daripada 180 baris sebelumnya, dengan kapasiti maksimum 400 baris dijangka dicapai menjelang September. Ruang tambahan membolehkan pengagihan 8,500 bakul untuk menyimpan alat ganti, meningkat dari  5,000 bakul di fasiliti sebelumnya. Hasilnya, nilai stok dijangka meningkat sebanyak 1.5 kali ganda kepada RM9  juta menjelang Disember 2024, meningkat daripada RM5.8 juta setahun sebelumnya. 

Pegangan pasaran Proton di Sabah telah meningkat secara berterusan daripada 10% pada 2018 kepada 25.9%  pada 2023 dan kini berada pada 27.4% setakat ini untuk tahun 2024, didorong oleh populariti model siri X baru  serta Proton Saga yang kekal relevan. Pada tahun 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur  menyumbang 15.8% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat. Model Proton yang paling laris adalah Proton  Saga dengan 13, 700 unit, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan Proton X50 dengan 2,955 unit.  

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan