Proton baru-baru ini telah mengadakan upacara pecah tanah untuk tambahan baharu ke fasiliti stamping di Tanjong Malim. Rangkaian baharu akan dikenali sebagai stamping E dan F dan akan meningkatkan jumlah pengeluarannya di Proton Tanjong Malim dan bersedia untuk memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang tahun 2026.
Sejumlah RM253 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, yang dijangka juga akan menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Ini adalah penambahan kedua yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti Proton selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Berucap pada majlis tersebut, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton kerana ia memberi kami lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran. Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026.”
Rangkaian baharu E akan mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan. Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.
Selain itu, rangkaian baharu ini akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import untuk model-modelnya. Ini akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan. Pada masa yang sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).