Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia telah mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk memberdaya masyarakat Orang Asli melalui kerjasama kali kedua dengan Yayasan Keamanan Global (Global Peace Foundation) Malaysia. Kali ini, usaha bersama itu memberi tumpuan terhadap menyokong program OA-Eco Farm oleh GPF di empat perkampungan Orang Asli di Kuala Rompin, Pahang.
Program OA-Eco Farm merupakan usaha penanamaan makanan yang bertujuan untuk peningkatan sara diri serta meraih pendapatan mapan dalam kalangan keluarga Orang Asli. Ia menyediakan latihan praktikal, serta subsidi terhadap perkakas dan juga benih.
Disokong oleh sumbangan dana sebanyak US$10,000 (RM45,745) daripada dana tabung Ford Motor Company (Ford Motor Company Fund) yang merupakan sebuah badan kebajikan bagi Ford Motor Company, seramai 22 sukarelawan dari SDAC menyertai usaha berkenan bersama dengan pasukan GPF untuk melawat tiga perkampungan terlibat pada 9 Mac.
Turut dibawa bersama mereka ialah sumbangan benih, kelengkapan penanaman, peralatan dapur serta kesungguhan dan tenaga untuk turut membantu. Sukarelawan juga bekerja rapat dengan penduduk-penduduk di salah sebuah kampung untuk memasang kelengkapan panel solar untuk sistem pemagaran. Mereka juga terlibat dalam kerja-kerja pemugaran tanah, memotong rumput dan membangunkan batas sebelum proses pembenihan.
Cabaran utama penanaman makanan dalam golongan ini adalah sumber yang terhad untuk membeli benih, kelengkapan pembenihan dan perkebunan, serta cabaran alam sekitar seperti cuaca kering dan tanah kering dan keras. Lebih dikenali sebagai kelompok pemburu, kemahiran dalam teknik penanaman mapan untuk menguruskan kesihatan tanah adalah penting untuk kejayaan.
Dikenali kerana kesungguhan untuk menyokong komuniti masyarakat yang rentan dengan cara memupuk keupayaan daya tahan mereka, GPF melancarkan program OA-Eco Farm untuk mengatasi masalah ini. Usaha berkenaan tidak hanya mempertingkatkan kehidupan golongan Orang Asli tetapi turut mempromosi amalan mapan dan pemuliharaan alam sekitar.
Program berkenaan menerapkan kaedah penanaman yang menyeluruh dikenali sebagai Syntropic Farming yang menghidupkan semula eko-sistem serta membugarkan tanah bagi memastikan sekuriti makanan dan kemapanan.
Selain latihan, tunjuk ajar dan subsidi, yayasan ini telah mewujudkan pasar dalam talian untuk pekebun Orang Asli supaya menjana lebih banyak pendapatan daripada tanaman mereka. Menerusi laman sesawang GPF, pasar dalam talian berkenaan, yang dipanggil Kebun Amai menampilkan pelbagai buah-buahan dan sayuran segar serta produk-produk berkaitan lainnya daripada pekebun dan keluarga mereka.
Sejak pengenalannya, GPF telah bekerjasama dengan lebih 70 perkampungan untuk menyediakan capaian kepada air bersih, tenaga, kehidupan mapan serta pendidikan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Yayasan Keamanan Global dan untuk menyumbang kepada komuniti Orang Asli, layari https://globalpeace.org.my/.