Piston.my

Volkswagen Touareg R-Line Baharu Dilancarkan ke Pasaran Malaysia – RM469,990

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasmi memperkenalkan Touareg R-Line ke pasaran tempatan. SUV flagship yang dipasang tempatan itu ditawarkan pada harga cadangan RM469,990, termasuk
Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP).

Touareg yang kini sudah memasuki generasi ketiga, merupakan SUV pertama keluaran Volkswagen semenjak prebiu globalnya pada tahun 2002. Lebih 1.14 juta unit telah dijual di seluruh dunia dan ia kekal sebagai model popular dalam rangkaian SUV Volkswagen.

Touareg dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 TSI yang telah terbukti prestasinya. Kuasa mencecah 340PS dan tork sehingga 450Nm disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi 8-kelajuan automatik dan sistem 4MOTION pintar. Sistem ini membenarkan pemandu untuk memilih mod pemanduan yang mengubah suai karakter rangkaian kuasa bagi disesuaikan dengan corak pemanduan dan permukaan jalan.

Reka bentuk hadapan dan luaran baharu memberikan Touareg penampilan yang cukup garang. Di bahagian hadapan, gril radiator, lampu utama dan apron hadapan telah menerima rekaan baharu. Rekaan bahagian belakang kini juga
lebih tajam dengan jalur lampu LED. Logo Volkswagen di belakang berlampu merah, yang pertama kerana sebelum ini ia hanya ditawarkan di pasaran China dan Amerika Syarikat.

Pakej R-Line menggabungkan rekaan elegan, bergaya dengan sporty yang dinamik, bersama rim aloi Braga bersaiz 20 inci, kemasan krom serta insignia ‘R’ pada bahagian pintu dan gril hadapan.

Touareg mendefinisikan kembali teknologi pencahayaan menerusi lampu utama IQ.LIGHT HD MATRIX baharu yang merupakan salah satu sistem lampu terbaik di dunia. Sistem lampu pintar ini terdiri daripada lebih 38,000 unit LED mikro interaktif yang menerangi jalan dengan lebih tepat berbanding sebelumnya.

Bukan itu sahaja, lampu lopak ketika memasuki dan keluar dari kenderaan akan menyuluh permukaan jalan dengan logo Volkswagen apabila pintu dibuka. Tidak terkecuali ciri Night Vision – pertama untuk model Volkswagen di Malaysia yang memberikan pemandu pandangan lebih baik pada waktu malam. Sistem itu menggunakan sensor inframerah di dalam kamera untuk mengesan suhu badan manusia atau haiwan sehingga 130 meter bagi memastikan pemandu sentiasa berwaspada dengan pelanggaran yang mungkin berlaku.

Dibina di atas platform MLB Evo daripada Volkswagen Group, kabin lima tempat duduk yang luas jelas memberikan rasa premium kepada Touareg. Antara ciri penting ialah Innovision Cockpit – satu kombinasi intuitif di antara panel paparan digital yang digabungkan untuk membentuk ‘rekaan satu skrin’. Ia terdiri daripada Digital Cockpit bersaiz 12.3 inci di bahagian pemandu serta skrin sentuh berukuran 15 inci untuk sistem infohibur Discover Pro Max bersama ciri Wireless App-Connect dan pengecasan tanpa wayar.

Pengalaman seperti berada di dalam dewan konsert datang daripada sistem bunyi 730W Dynaudio Consequence yang dikuasakan oleh amplifier berkapasiti 80W. Sistem itu terdiri daripada 13 unit pembesar suara yang diletakkan secara
strategik di dalam kabin dengan sebuah sub-woofer berada di dalam but.

Sistem kawalan suhu 4-zon (eksklusif untuk Touareg) menawarkan ruang kabin yang selesa dan boleh diubah suai kepada penumpang hadapan dan belakang.

Penumpang belakang juga boleh mengubah suai suhu, kekuatan kipas dan arah angin sejuk mengikut kehendak mereka. Kerusi Suhu Aktif (Active Climate Seats) memberi lebih keselesaan kepada pemandu dan penumpang hadapan, terutama pada hari yang panas.

Suspensi udara dengan ciri pelarasan automatik menjadi ciri standard dan menawarkan keselesaan pemanduan yang terbaik. Sistem tersebut akan mengubah suai ketinggian kenderaan selari dengan kondisi permukaan jalan serta boleh direndahkan sebanyak 40mm untuk memudahkan urusan memuat dan memunggah barang dari ruang kargo. Tahap mengharung air juga mengagumkan iaitu setinggi 550mm.

Selain ciri Night Vision yang dinyatakan sebelum ini, Touareg juga disokong oleh teknologi keselamatan termaju Volkswagen, IQ.DRIVE yang menawarkan sokongan pintar kepada pemandu bagi meningkatkan aspek keselamatan.
Rangkaian sistem keselamatan aktif dan pasif ini juga memudahkan pemanduan, mengurangkan keletihan dan tekanan, jadi pemandu akan dapat menikmati perjalanan mereka.

Sistem itu merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control ACC (dengan Stop & Go), Area View, Autonomous Emergency Braking Front Assist, Automatic Post- Collision Braking, Lane Assist/Lane keeping, Park Assist, Side Assist dengan Rear Cross Traffic Alert, Advanced driver attention & drowsiness monitor dan Tyre Pressure Monitoring System.

Touareg generasi terbaharu ini juga menjadi model Volkswagen pertama yang ditawarkan dengan ciri Bantuan Lintasan Trafik Hadapan (Front Cross Traffic Assist), ia menggunakan radar untuk memantau trafik dari kedua-dua arah ketika berada di simpang jalan. Jika wujud risiko perlanggaran, pemandu akan diberi amaran dan sekiranya tiada tindakan diambil, brek kecemasan automatik akan diaktifkan.

Touareg didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu biru (Lapiz Blue), kelabu (Silicon Gray), hitam (Grenadilla Black), putih (Oryx White) dan perak (Dolomite Silver).

Touareg R-Line hadir bersama Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package) yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan