UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan inisiatif Beyond Zero, yang selaras dengan matlamat global Toyota ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050. Acara itu, yang bermula pada hari ini hingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.
Acara itu turut merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung. Wawasan ini melangkaui konsep automotif konvensional, membayangkan sebuah masyarakat di mana setiap individu mengejar kebahagiaan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan berbilang laluan ke arah Neutraliti Karbon.
Acara itu menekankan komitmen UMWT untuk menyelaraskan amalannya dengan usaha negara dan global yang lebih meluas bagi menangani perubahan iklim dan memupuk pembangunan mampan. Bagi mempamerkan komitmen Toyota yang tidak berbelah bahagi terhadap pendekatan berbilang laluan ke arah neutraliti karbon, syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.
Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatannya yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api. Kenderaan elektrifikasi ini mempamerkan kemampanan automatif terkini, yang menampilkan elemen reka bentuk dan teknologi termaju bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Sebagai tonggak elektrifikasi massa, UMWT mempamerkan Kenderaan Elektrik Hibrid keluarannya, yang mendapat sambutan hangat di pasaran Malaysia. Dengan sejarah kebolehpercayaan yang terbukti di jalan raya Malaysia sejak tahun 2009 dan di peringkat global sejak tahun 1997, UMWT telah berjaya menjual 41,600 HEV sejak tahun 2009 yang dapat diterjemahkan kepada kesan penyahkarbonan yang membanggakan, iaitu penyerapan kira-kira 150,000 tan CO2 bersamaan dengan 500,000 pokok.
Keupayaannya untuk mengurangkan CO2 secara ketara tanpa memerlukan sebarang pelaburan infrastruktur atau perubahan sikap pelanggan, membolehkan ia menjadi penyelesaian optimum bagi memperluaskan lagi elektrifikasi untuk orang ramai.
Selain HEV, UMWT turut memperkenalkan buat pertama kalinya, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api, termasuk mempamerkan model bZ4X yang bergaya, Hilux BEV yang tahan lasak dan C+pod yang mempunyai reka bentuk unik, sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang sememangnya mesra alam. C+pod telah diperkenalkan sebagai pilihan mobiliti yang direka khusus bagi meningkatkan kadar kecekapan tenaga setiap individu dalam persekitaran bandar.
Untuk Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api pula, UMWT telah memperkenalkan model termaju seperti Toyota Mirai FCEV, GranAce FCEV dan Hilux FCEV. Kenderaan yang dikuasakan oleh hidrogen ini menggabungkan inovasi teknologi dengan reka bentuk anggun dan prestasi dinamik, menggunakan teknologi Sel Bahan Api untuk menjana elektrik daripada Hidrogen dan Oksigen.
Satu lagi inovasi yang mendapat perhatian ialah bas SORA. Diambil daripada singkatan untuk Sky, Ocean, River and Air (Langit, Laut, Sungai dan Udara), SORA adalah sebuah bas yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen, seperti yang terdapat pada Toyata Mirai. Model ini menampilkan keupayaan untuk menyumbang kepada masa depan automotif yang lebih bersih dan mampan, termasuk untuk tujuan komersial di mana gas hidrogen yang disimpan di dalam tangki hidrogen bertindak balas dengan oksigen dan menjana tenaga elektrik yang memberi kuasa kepada motor elektrik, dan hanya mengeluarkan air sebagai kesan daripada tindak balas tersebut.
Selama lebih 30 tahun, Toyota telah banyak melabur dalam teknologi sel bahan apinya yang terkemuka di dunia. Kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen menjana tenaga elektrik menerusi tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen dalam ruangan sel bahan api. Ia merupakan satu proses yang membawa kepada pelepasan sifar kecuali air. Kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen mempunyai kelebihan sebagai kenderaan komersial kerana ia hanya mengambil masa selama sepuluh minit atau kurang untuk mengisi semula bahan api, dan mempunyai jarak pemanduan yang lebih jauh. Sebaik sahaja berada di jalan raya, kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen memberikan perjalanan sifar pelepasan yang selamat, senyap, mudah, dan menyeronokkan.
Pembentangan UMWT pada acara itu menekankan tentang rangkaian teknologi serta model yang berinovasi, mesra alam, komprehensif dan pelbagai, selari dengan komitmen syarikat itu terhadap penyelesaian mobiliti mampan yang dapat memenuhi segala keperluan mobiliti dan gaya hidup pelanggan. Untuk menggalakkan penyertaan dan kesedaran, acara Beyond Zero dibuka kepada pelbagai tetamu untuk mempelajari tentang inisiatif kemampanan dan teknologi baharu, dan memandu uji kenderaan tertentu dari 20 hingga 28 Februari 2024.
Daripada kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri, hinggalah kepada teknologi sel bahan api hidrogen, konsep Beyond Zero menekankan komitmen Toyota untuk terus berinovasi , di samping memupuk ekosistem yang hijau dan rendah karbon untuk semua rakyat Malaysia. Ini menandakan satu kejayaan penting dalam perjalanan UMW Toyota Motor ke arah mobiliti mampan.
“Mencapai sasaran sifar, dan kemudiannya menambah nilai baharu ke atas pencapaian itu”, acara ini mempamerkan usaha peralihan industri automotif ke arah Neutraliti Karbon, sekali gus membantu mengurangkan kesan negatif kepada manusia dan alam sekitar hingga menjadi sifar. Selain itu, Toyota turut menjadikan “Beyond Zero” sebagai inisiatif transformasi bagi mencipta dan memberikan nilai yang lebih hebat, dengan terus gigih berusaha mencari cara untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan masyarakat di masa depan.