Piston.my

Proton Menikmati Permulaan Tahun Terbaiknya Sejak 2013

Proton menikmati permulaan tahun terbaiknya  sejak 2013 dengan menjual 12,882 unit (domestik dan eksport) pada bulan Januari. Ini membolehkan Proton menjadi satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan yang lebih baik berbanding bulan Disember  2023, iaitu peningkatan sebanyak 1.3%, manakala berbanding bulan Januari tahun lalu pula, jualan meningkat  sebanyak 10.3%. Hasil daripada permulaan tahun yang kukuh, Proton mengekalkan tempat kedua dalam  jadual jualan dengan selesa. 

Pegangan pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding  bulan sebelumnya. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding bulan Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023. 

Penghantaran model terbaharu barisan Proton, Proton S70, telah bermula dengan 1,442 unit dihantar pada bulan Januari. Pada masa ini, model itu mempunyai lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif  yang diterima daripada pelanggan. Model S70 juga memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15  unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan Februari. 

Sementara itu SUV paling popular di Malaysia, Proton X50, meneruskan pemerintahannya bagi permulaan tahun  baharu. Dengan 2,002 unit dijual pada bulan Januari, ia kekal sebagai raja bagi SUV segmen B, yang  membuktikan popularitinya yang berkekalan lebih daripada tiga tahun selepas pelancarannya. Begitu juga Proton Persona yang memulakan tahun dengan baik dengan mendahului jualan bagi sedan segmen B dengan 1,846 unit  dijual. 

Model teratas Proton, iaitu Proton X90, turut mencatatkan prestasi yang baik apabila ia kekal sebagai peneraju  dalam pasaran SUV segmen D, dengan jumlah 365 unit dijual pada bulan Januari. Ini dipadankan oleh Proton  Exora yang walaupun pengeluarannya telah tamat, MPV segmen C itu kekal relevan dengan 203 unit dijual. 

Selepas menamatkan tahun 2023 dengan jualan mengagumkan sebanyak 70,184, Proton Saga memulai tahun  2024 dengan kukuh dengan 6,129 unit dijual, yang mengesahkan populariti dan kepentingannya yang berkekalan  dalam portfolio Proton. Permulaan tahun yang teguh mengukuhkan kedudukan Saga sebagai asas dalam legasi Proton dan menyerlahkan pengaruhnya dalam industri automotif Malaysia. 

Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton Iriz melonjak sebanyak 7% berbanding bulan Disember dengan  523 unit dijual manakala 372 Proton X70 telah dijual bulan lepas. 

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan