Piston.my

BMW Malaysia Memperkenalkan X5 xDrive50e M Sport Yang Dipasang Di Malaysia

Menyusuli kejayaan BMW X5 dalam pasaran Malaysia pada tahun 2023, BMW Malaysia juga telah menyingkap varian ‘plug-in’ hibrid jentera Sports Activity Vehicle (SAV) terbaharu mereka yang paling cemerlang, iaitu BMW X5 xDrive50e yang turut dipasang di dalam negara. Hadir dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e baharu melihat pengemaskinian yang signifikan dari segi prestasi dan keefisienan, memuatkan lebih banyak kuasa dengan jarak operasi elektrik yang lebih tinggi, tanpa mengkompromikan keelegenan dan kemegahannya.

Dari sudut dinamik pemanduan, BMW X5 xDrive50e M baharu didatangkan dengan rangkaian kuasa PHEV yang mampu membekalkan output gabungan berjumlah 489hp – iaitu 96hp lebih tinggi berbanding model terdahulu, juga dengan tork yang lebih tinggi kini berjumlah 700Nm.

Output gabungan enjin petrol enam sebaris 3.0 liter serta motor elektriknya yang hebat membolehkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu membuat pecutan abad dalam masa 4.8 saat. Daya elektrik jentera PHEV ini juga telah dinaik taraf, memberikannya jarak operasi elektrik sejauh 110 km (WLTP), di samping penambahbaikan sebanyak 7.4 kW dalam aspek pengecasan, membolehkan jentera ini dicas dari 0-100% hanya dalam tempoh 4.5 jam.

Di dalam kabin BMW X5 xDrive50e M Sport yang mengagumkan ini, terletak BMW Curved Display 14.9 inci dengan kluster paparan digital penuh yang sedia untuk diakses oleh pemandu, kini memuatkan BMW Operating System 8.5. Ia termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai kaedah interaksi di antara pengguna dan kenderaan ini, yakni melalui iDrive Controller, suara, sentuhan atau dengan menggunakan Gesture Control. Light Bar dengan struktur permukaan berhablur, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon turut didatangkan secara standard.

Konsol sentral di dalam BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga kini menampilkan tata atur baharu serta butang fungsi sentuh tambahan, dan penukaran gear kini dibuat dengan suis jumpelang (rocker switch). Ciri-ciri standard tambahan bagi SAV ini meliputi BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Professional, berserta warna eksterior Black Sapphire, Manhattan, Mineral White, dan Skyscraper Grey, di samping upholsteri interior “Merino”, daripada famili BMW Individual Extended Leather, yang hadir dengan dua pilihan warna – Black dan Tartufo, kedua-duanya mencerminkan susuk atletik dan kemewahan moden BMW X5 xDrive50e M Sport baharu.

Anggaran harga jualan bagi BMW X5 xDrive50e M Sport baharu ialah RM530,000.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan