Lebih daripada 3,400 peserta telah menyertai Chery Eco Run 2024 yang julung kali diadakan di Putrajaya dengan tema ‘A New Journey To A New Green Life’ hari ini. Larian fun run ini bermula dari Dataran Wawasan dan menampilkan dua kategori, iaitu 5KM dan 10KM untuk pelari yang berpengalaman serta yang inginkan laluan larian yang lebih mencabar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melancarkan acara tersebut dengan melepaskan (flag-off) pelari kategori 10km bersama Presiden Chery Malaysia Leo Chen. Tengku Zafrul turut serta menyertai dalam larian tersebut. Sementara itu, pelari kategori 5km dilepaskan oleh Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob.
“Chery Eco Run adalah titik permulaan penting bagi kami di Chery Malaysia untuk bergerak ke arah masa depan di mana kereta elektrik dan teknologi hijau menyatu bersama gaya hidup aktif serta membina persekitaran hidup yang lebih sihat,” kata Presiden Chery Malaysia, Leo Chen.
Chen turut menambah bahawa melalui inisiatif seperti Chery Eco Run, jenama automotif ini berharap dapat meningkatkan kesedaran dan mempromosikan budaya yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta mendorong komuniti tempatan untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Persatuan Pelari Anak Luar Biasa atau juga dikenali sebagai Little Fighter Runners juga menghantar pasukan pelari untuk menyertai acara ini. Yuran penyertaan pasukan tersebut ditaja oleh Chery Malaysia.
Peserta dan pengunjung ke acara Larian Chery Eco Run juga berpeluang melihat kenderaan-kenderaan di bawah Chery Malaysia dengan lebih dekat seperti Omoda 5, Tiggo 8 Pro, dan Omoda E5. Kereta elektrik tulen pertama Chery iaitu Omoda E5 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Memandangkan acara tersebut telah memperolehi sambutan positif dari para pelari, Chen menyatakan Chery Malaysia sedang mengkaji untuk menjadikan larian ini sebagai acara tahunan.