Piston.my

Saya Tidak Dapat Hidup Tanpa Lumba Rali – Karamjit Singh

Lagenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh mengumumkan keputusan untuk kembali aktif dalam arena perlumbaan rali.

Perkara itu diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Lembah Klang, baru-baru ini.

Karamjit bakal kembali beraksi bersama pasukan tajaan syarikat swasta, Cisco.

Pengarah Urusan Cisco, Rabin Nijhar mendedahkan dia membuat keputusan untuk menghubungi Karamjit selepas membaca artikel mengenai situasi bekas pelumba itu Disember lalu.

“Selepas tahun 2020, ketika saya sedang mencari peluang baharu, saya terbaca kisah Karamjit dan seterusnya kami di Cisco mempunyai peluang unik untuk menawarkan sesuatu.

“Dari situ kami teruja untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia bagi memberi sokongan kepada ikon negara,” kata Rabin.

Karamjit akan kembali ke arena rali sejak kali terakhir beraksi pada 2018 dan akan disatukan semula bersama rakan baiknya dan petunjuk arah, Jagdev Singh.

“Rali adalah minat saya dan telah menjadi karier saya sepanjang 30 tahun ini. Saya memandu secara profesional pada 1988 dan hanya baru-baru ini saya sukar untuk mendapatkan penaja.

“Hakikatnya, saya tidak dapat hidup tanpa perlumbaan rali. Ini adalah semangat saya dan saya mahu berlumba seberapa banyak yang mampu,” jelasnya.

Kisah Karamjit kembali mendapat perhatian apabila dia terpaksa mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing selepas terpaksa menjual rumah dan tiga kereta kesayangan termasuk duit simpanan wang pekerja (KWSP) bagi menanggung karier perlumbaan ralinya sejak 2012.

Karamjit dan Cisco Racing akan kembali beraksi pada 26 dan 27 Jun ini di Kejuaraan Rali Kebangsaan Malaysia yang akan berlangsung di Sepang.

Artikel Berkaitan