Piston.my

Pandu Uji: Volvo XC40 T5 R-Design 2018 – “SUV Seksi Sweden”

Pasaran kenderaan jenis SUV di Malaysia kini semakin hangat dengan beberapa model-model menarik yang telah dilancarkan dari pelbagai jenama dalam dan luar negara. Terdapat banyak pilihan yang mengikuti bajet anda dan mereka yang lebih berkemampuan semestinya mempunyai lebih banyak alternatif. Hari ini, kami ingin mengulas pengalaman bersama model kompak SUV premium pertama dari Volvo iaitu Volvo XC40 T5 R-Design 2018.

https://www.youtube.com/watch?v=K78CuYMAT5I

Seperti yang telah diketahui ramai, Volvo adalah antara pengeluar kenderaan yang paling selamat di dunia tetapi generasi muda tidak begitu berminat dengan model-model yang telah dikeluarkan sebelum ini hanya kerana reka bentuk yang agak klasik dan konservatif. Model Volvo XC40 T5 R-Design mempunyai keupayaan yang besar untuk mengubah persepsi anda semua berkenaan perkara ini.

Dari segi rupa bentuk, Volvo XC40 adalah antara model kompak SUV tercantik yang boleh didapati di pasaran Malaysia walaupun untuk kami yang kurang minat pada model segmen ini. Terdapat beberapa komen berkenaan rupa yang boleh dibanding dengan Range Rover Evoque tapi bagi kami, model Volvo XC40 bukan sahaja seksi malah mempunyai wajah yang lebih anggun dan moden untuk generasi muda yang inginkan kemewahan.

Volvo XC40 didatangkan hanya dengan kemasan R-Design yang menambahbaikkan lagi pakej yang sedia ada untuk pasaran negara dan ini sememangnya menarik untuk dipandang. Gabungan bentuk badan dengan aliran bergaya juga agak maskulin lebih-lebih lagi reka bentuk yang terdapat pada rim 19-inci model XC40 ini. Ini bermaksud model XC40 akan menarik peminat yang lebih ramai tidak kira pilihan lelaki mahupun wanita.

Kombinasi lampu LED depan dan juga belakang sesuai dengan watak kompak SUV premium ultra moden ini dan ia bertambah menarik di bahagian kabin. Ruang dalaman disiapkan dengan bahan sentuhan lembut yang bukan sahaja kelihatan anggun malah sangat sedap untuk disentuh. Sememangnya sebuah kenderaan yang berdefinikan unsur premium.

Bagi pemandu, panel instrumen LED 12-inci memberi segala maklumat kenderaan kepada pemandu dan ia dipertingkatkan lagi dengan skrin sentuh bahagian tengah yang mengawal segala aspek infotainmen di dalam XC40. Unsur digital ini sangat menarik tetapi sistem ini mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan segala keupayaan yang ditawarkan oleh Volvo di dalam model XC40.

Terdapat juga banyak ruang simpanan (terbuka dan juga tersorok untuk keselamatan barang berharga) tersebar di seluruh kabin dari bahagian tepi pintu yang lebih besar, ruang tengah dan juga sebuah cangkuk yang disertakan pada ruang simpanan bahagian penumpang depan jika anda ingin menggantungkan makanan yang telah dibungkus tanpa perlu risau.

Tempat duduk yang disediakan dalam model XC40 ini adalah luas dan selesa dengan reka bentuk kusyen yang memberi sokongan selesa kepada pemandu dan juga semua penumpang. Bagi mereka yang duduk di belakang, terdapat penghawa dingin yang memastikan anda sejuk dan selesa tetapi jika anda ingin mengecas telefon bimbit, terdapat satu port USB Type-C yang boleh digunakan (besar kemungkinan anda perlukan sebuah ‘adapter’ untuk menggunakannya).

Terdapat 13 pembesar suara di seluruh ruang kabin termasuk ‘Air Woofer Technology’ yang memberi pengalaman audio yang sememangnya premium. XC40 ini juga dilengkapi dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar di bahagian depan tanpa memberi imej kabin yang serabut dan bersepah.

Ruang simpanan belakang juga mempunyai kapasiti 480 liter dan boleh dikembangkan dengan menurunkan tempat duduk penumpang belakang. Pengalaman kami ke Ikea baru-baru ini telah berjaya memuatkan sebuah meja dan kerusi ofis, almari pakaian dan juga segala barangan runcit yang telah dibeli di Village Grocer untuk kegunaan selama 2 minggu! Ia juga ada mod ‘bebas tangan’ untuk dibuka dengan senang jika anda sedang memegang barang yang banyak.

Kembali kepada perkara yang paling penting iaitu gaya pemanduan, Volvo XC40 T5 R-Design 2018 memberi sebuah pengalaman yang seimbang antara keselesaan dan juga ‘sporty’. Sistem suspensi telah ditala untuk memberi gaya memandu yang tidak terlalu keras atau lembut (walaupun dengan gabungan rim 19-inci dan tayar Pirelli P-Zero). Penumpang belakang mungkin akan mengalami pengalaman yang lebih ‘bouncy’ kerana ini.

Enjin 2.0-liter empat silinder turbo mampu menjana 252hp pada 5,500rpm dan 350Nkm tork maksimum antara 1,800rpm hingga 4,800rpm. Ini memberi pengalaman memandu yang menakjubkan dimana pecutan 0-100km/h boleh dicapai dalam masa 6.4 saat. Ini merupakan prestasi yang bagus memandangkan bahawa berat SUV ini lebih dari 1,600kg!

Segala kuasa dikawal oleh sistem transmisi Geartronic™ 8-kelajuan yang boleh dikawal dengan menggunakan ‘paddle shifter’ atau tombol gear di bahagian tengah. Gaya pemanduan kami yang agak ‘agresif’ kerana bunyi enjin dan turbo menarik memberi penggunaan bahan api setinggi 12 liter/100km tetapi jika anda berjimat-cermat, nombor ini boleh turun serendah 6 liter/100km (di lebuh raya).

Ini bermaksud tangki petrol sebesar 54 liter mampu bergerak sejauh antara 450km hingga 760km mengikut gaya pemanduan anda. Pemanduan dalam bandar dan juga di lebuh raya amat selesa dengan laju maksimum setinggi 230km/h. Walaupun berkuasa tinggi, ia telah ditala khas untuk gaya pemanduan yang lebih halus kerana Volvo mementingkan keseimbangan antara ‘sporty’ dan juga keselesaan.

Dari segi keselamatan, Volvo XC40 tiada tandingan dengan kelengkapan yang sedia ada yang merangkumi hampir 400 aspek keselamatan seperti:

  • BLIS™ blind spot information dan Cross Traffic Alert bersama fungsi autobrake
  • Pilot Assist
  • Adaptive Cruise Control
  • Sistem Driver Alert Control
  • Lane Mitigation System
  • 7 beg udara
  • Electronic Stability Control
  • Hill Start Assist dan Automatic Hold
  • SIPS™ side impact protection system
  • WHIPS™ whiplash injury protection system
  • Rear Collision Warning with braking at standstill
  • Indirect Tyre Pressure Monitoring System (iTPMS)
  • DAN BANYAK LAGI, BRO!

Volvo Cars Malaysia menawarkan model Volvo XC40 T5 R-Design 2018 pada harga RM255,888 (harga atas jalan tanpa insurans) dengan 4 pilihan warna dan waranti tanpa had selama 5 tahun. Harga yang ditawarkan mungkin sedikit tinggi untuk model CKD tetapi jika anda berpeluang untuk merasai segala aspek kenderaan lebih-lebih lagi pakej keselamatan yang sedia ada, ini merupakan tawaran yang begitu menarik. Layari www.volvocars.com/my untuk maklumat lanjut.

A car stirs the soul, a motorbike is the soul. Keshy has been a motoring journalist for over a decade and has written for and founded a number of Malaysian motoring titles including Piston.my, Bikesrepulic.com, Motomalaya.net and other mass media titles.

Artikel Berkaitan