Piston.my

10 soalan dijawab tentang Toyota Vios 2019 – “As Never Before”

Minggu lepas, kami dan beberapa media permotoran tanah air tercinta telah mendapat peluang untuk mencuba Toyota Vios 2019 tawaran dari UMW Toyota Sdn Bhd. Vios generasi baharu dengan tagline “As Never Before” memberi imej awal sebuah kenderaan serba baharu yang dipasarkan untuk pelbagai golongan dari mereka yang baru bekerja hingga berkeluarga yang ingin mencari sebuah kenderaan yang selesa dan berpatutan dari semua aspek termasuk servis selepas jualan.

Kami akan menjawab beberapa soalan yang telah atau bakal dikemukakan oleh rakyat Malaysia berkenaan Toyota Vios 2019 generasi baharu ini.

1) Wow, cantik! Berapa harga dia, boss?

Harga jualan dari RM77,200 hingga RM87,300 (harga atas jalan tanpa insurans). Ada tiga varian berbeza iaitu:

1.5J – RM77,200

1.5E – RM81,200

1.5G – RM87,300

2) Rupa bentuk lebih kurang sama jek. Betul ke baru ni?

Kiri lama, kanan baru

Ya, betul. Boleh dikatakan lebih hampir 100% komponen Toyota Vios 2019 adalah baharu walaupun menggunakan platform yang lebih kurang sama dengan model generasi sebelum ini. Kalau ada peluang, cuba ‘test drive’. Memang lain!

Dari segi rupa bentuk, ia lebih agresif dan ‘muscular’ jika dibandingkan dengan Vios sebelum ini yang lebih ‘bulat’. Rupa bahagian depan tajam lebih kurang sama seperti Corolla Altis (admin betul-betul minat), bahagian tepi dan belakang lebih ‘curvy’ dan elegan seperti Camry (ala-ala ‘business look’ untuk para eksekutif).

3) Laju ke bang? Berapa ‘top speed’ ni?

Lagi kuat tekan, lagi laju pergi. Pecutan biasa dan selesa dengan adanya sistem transmisi 7-kelajuan CVT dengan mod ‘Sport Sequential Shiftmatic’. Kelajuan selesa pada 140km/j tapi lebih dari itu, sedikit kegoyangan dapat dirasai tapi hanyalah sedikit. Apa-apa pun, patuhi had kelajuan yang telah ditetapkan. Laju-laju nak pergi mana?

4) Enjin masih 1.5 liter ke?

Ya, enjin 1.5-liter 4-silinder DOHC Dual VVT-i yang mampu menjana 105hp pada 6,000rpm dan 140Nm tork maksimum serendah 4,200rpm. Cukup berkuasa untuk membawa penumpang dan bagasi hingga kapasiti penuh. Sistem transmisi CVT agak bising bila berada di RPM tinggi tapi lancar pada kelajuan tinggi.

5) Bahagian kabin selesa tak?

Jika dibandingkan dengan Vios generasi sebelum ini, Vios 2019 memang selesa lebih-lebih lagi dari segi ‘soundproofing’. Pengalaman memandu sangat selesa bagi kedua-dua pemandu dan penumpang. Tempat duduk mungkin boleh lebih selesa jika ada ‘lumbar support’ untuk bahagian bawah belakang (rasa sedikit bongkok bila memandu).

Bahagian dashboard juga rasa sedikit tinggi walaupun tempat duduk telah dilaraskan ke tempat tertinggi. Tetapi tidak perlu risau kerana Toyota Vios 2019 dilengkapkan dengan Panoramic View Monitor (PVM) dan sensor parking untuk memastikan anda dapat lihat kawasan keliling tanpa keluar dari kenderaan.

6) Apa ciri-ciri keselamatan yang ada pada Toyota Vios 2019 ni?

Ada banyak dan semuanya amatlah berguna. List ada di bawah.

  • 7 beg udara
  • Panoramic View Monitor (PVM)
  • Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Front Digital Video Recorder (DVR) baharu
  • Hill-Start Assist Control (HAC)
  • Sensor tempat letak kenderaan
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Traction Control (TRC)
  • Brake Assist (BA)
  • Anti-Lock Braking System (ABS)
  • Eletronic Brake-force Distribution (EBD)

NOTA: Kami dapati bahawa sistem Blind Spot Monitor agak sensitif yang juga bermaksud jika ada kereta atau motor di bahagian kereta yang anda tidak boleh nampak, Vios 2019 akan ‘bising’ untuk memastikan anda sedar atas kehadiran mereka. Ini bagus untuk mengurangkan lagi risiko kemalangan berlaku.

7) Kelengkapan bahagian dalaman bagus tak?

Bagi saya, Vios 2019 agak bagus. Terdapat banyak ruang simpanan tapi terdapat beberapa pihak yang rasa bahawa bahagian depan masih boleh ditambahbaikkan dari segi reka bentuk untuk ‘extra storage’.

Sistem audio dengan skrin sentuh 6.8-inci bersama cirri USB Mirroring, Tuner, HDMI, MP3, Voice Dial, AUX-Jack, Bluetooth dan reverse camera memang senang untuk digunakan walaupun sedikit ‘slow’ tapi ia hanya disediakan untuk varian 1.5E dan 1.5G. Pembesar suara ada empat sahaja tapi kualiti audio memang agak menarik untuk sebuah kereta ‘entry-level’ dari Toyota.

‘Reverse camera’ sedikit ketinggalan zaman tapi lebih baik ada dari tiada langsung. Sistem Panoramic View Monitor (PVM) memberi kebolehan untuk melihat keadaan keliling dengan senang dengan adanya kamera di setiap sisi kenderaan tapi kualiti kamera mungkin boleh diperbaiki untuk model generasi akan datang.

8) Penggunaan minyak petrol ‘saving’ tak?

Dalam perjalanan pulang kami dari Desaru, Johor ke Kuala Lumpur, kami berjaya mencatat penggunaan petrol serendah 15.8km/liter. Dengan kapasiti tangki petrol sebesar 42 liter, secara teori Toyota Vios 2019 boleh bergerak sejauh 663.6km sebelum anda perlu mengisi semula.

Gaya pemanduan kami sedikit ‘agresif’ jika dibandingkan dengan cara biasa (sebab kami guna Sport Mode). Dengan itu, kami rasa jarak perjalanan semestinya lebih jauh lebih-lebih lagi dengan adanya mod memandu ‘ECO Mode’.

9) CBU ke CKD ni, Bossku?

CKD, tuan-tuan dan puan-puan. Vios serba baru ini merupakan model pertama UMW Toyota Motor yang dikilangkan di kemudahan baru bertempat di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, Selangor. Ia merupakan satu daripada kilang Toyota yang paling moden di dunia yang dibina selari dengan hala tuju pengilangan kenderaan baru berkecekapan tinggi oleh kerajaan Malaysia.

“UMW Toyota Motor menjangkakan industri automotif di negara ini mempunyai potensi yang luas di masa hadapan. Untuk itu, syarikat telah melaburkan hampir RM2 bilion bagi pembinaan kilang pemasangan berteknologi tinggi ini. Visi kami adalah agar kilang ini dapat mengeluarkan kenderaan-kenderaan cekap tenaga yang lebih maju, dalam usaha berterusan untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan di masa hadapan,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

10) Patut ke tak patut saya beli?

Secara keseluruhan, Toyota Vios 2019 memberi tanggapan awal yang sangat bagus dari segi kualiti dan pengalaman pemanduan. Walaupun ada beberapa isu kecil, kami rasa ia sebuah kenderaan yang berbaloi untuk dibeli dan dimiliki untuk jangka masa yang panjang. Selesa, cukup dari segi kuasa dan dikenali sebagai kereta yang hampir ‘kebal’ dari segi penggunaan seharian. Berbaloi ke? Ya, berbaloi.

Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my.

A car stirs the soul, a motorbike is the soul. Keshy has been a motoring journalist for over a decade and has written for and founded a number of Malaysian motoring titles including Piston.my, Bikesrepulic.com, Motomalaya.net and other mass media titles.

Artikel Berkaitan