Piston.my

Pandu Uji: Ford Ranger Wildtrak 2019 – “Trak Pujaan Ramai”

Seperti yang telah dilaporkan oleh pihak kami pada bulan Oktober yang lepas, Ford Malaysia (Sime Darby Auto Connexion) bersama Ford Motor Company telah melancarkan Ford Ranger generasi baharu untuk pasaran Malaysia. Terdapat 8 varian berbeza bagi model XL, XLT dan Wildtrak dengan harga dari RM90,888 hingga RM144,888 dan kami telah diberi peluang untuk memandu uji varian tertinggi (sebelum Ford Ranger Raptor) iaitu Ford Ranger Wildtrak 2018.

Model yang diterima oleh kami di MotoMalaya.net untuk sesi pandu uji kali ini adalah Ford Ranger Wildtrak dengan enjin 2.0-liter Bi-Turbo yang mampu menjana 210hp pada 3,750rpm dan 500Nm tork maksimum serendah 1,750rpm. Dari segi janaan kuasa, Ford Ranger Wildtrak varian ini menggunakan pakej enjin yang sama dengan Ford Ranger Raptor yang mempunyai 52hp dan 115Nm tork lebih dari model Ford Ranger XL 2.2-liter.

Aspek yang paling menarik yang terdapat pada Ford Ranger generasi baharu (selain dari enjin berkuasa tinggi) adalah sistem transmisi 10-kelajuan automatik dengan ‘Selectshift’. Ini merupakan sistem pertama dalam kategori kenderaan trak pikap dan menurut Ford Malaysia, ia merupakan satu revolusi dalam prestasi dari segi penghantaran kuasa, tork dan juga memberi pertukaran gear yang lebih pantas dan tepat.

Kami dapati bahawa model Wildtrak ini amat berkuasa tetapi tidak terlalu keterlaluan dengan adanya sistem transmisi 10-kelajuan yang memberi gaya pemanduan yang lebih lancar dan yakin. Kebolehan trak pikap ini untuk mencapai kelajuan yang tinggi teramatlah senang tetapi dari segi kawalan dan pecutan dibawah 100km/j, aspek keselesaan dan kesenangan untuk memandu telah melalui penambahbaikan yang cemerlang jika dibandingkan dengan Ford Ranger generasi sebelum ini.

Sistem transmisi 10-kelajuan automatik dengan Selectshift memberi gaya pemanduan yang senang, lancar dan menarik walaupun kepada mereka yang tidak biasa dengan kenderaan sebesar ini. Penggunaan bahan api sebanyak 9.1-liter/100km untuk pemanduan yang sedikit ‘luar biasa’ dan gandingan bersama tangki minyak 80 liter, jarak pemanduan sejauh 880km boleh dicapai sebelum kehabisan minyak diesel.

Dengan gaya pemanduan yang lebih cermat, penggunaan bahan api kemungkinan akan turun serendah 7.5-liter/100km (atau lebih rendah) dimana jarak pemanduan bagi setiap tangki penuh minyak akan bertambah lebih jauh. Kalau betul dapat 7.5-liter/100km, jarak pemanduan secara teori akan naik sehingga sekitar 1,070km!

Bahagian dalaman kenderaan juga telah dikemaskinikan dengan beberapa aspek menarik termasuk skrin sentuh 8-inci yang didatangkan dengan SYNC®3 dan ciri-ciri Android Auto dan Apple CarPlay. Meter gabungan TFT 4-inci memberi segala maklumat mengenai kenderaan kepada pemandu dan segala kemasan telah dikemaskinikan dengan kemas kulit hitam Wildtrak.

Kebiasaannya, kenderaan seperbegini tidak mempunyai ciri keselesaan yang tinggi tetapi Ford Ranger generasi baharu ini telah dilengkapkan dengan sistem pakej casis yang menyerap segala hentakan dengan lebih efisien dan juga sistem ‘active noise cancellation’ untuk bunyi kabin yang senyap dan tenang walaupun pada kelajuan tinggi.

Tempat duduk memberi ruang dan tahap selesa yang agak tinggi akan tetapi, sesetengah pihak telah mendapati bahawa tempat duduk belakang terlalu tegak lebih-lebih lagi untuk perjalanan jarak jauh walaupun dengan ruang kaki dan kepala yang luas.

Dari segi reka bentuk, Ford Ranger generasi baharu tidak begitu berbeza dengan generasi yang ditawarkan sebelum ini. Mengekalkan ‘aura’ Ford Ranger yang masih diingini ramai merupakan satu tindakan yang bijak oleh Ford tetapi ia tetap mempunyai beberapa penambahbaikan seperti lampu hadapan HID dengan lampu siang dan kabus jenis LED, sistem ‘keyless’ dan ‘push start’ yang lebih maju, dan ‘Easy-Lift Tailgate’ iaitu pintu ruang simpanan belakang 70% lebih ringan untuk pengendalian mudah walaupun dengan hanya satu jari.

Teknologi keselamatan yang terdapat pada model Wildtrak ini memang menakjubkan. Ciri-ciri seperti 6 beg udara, ABS, EBD dan kawalan kestabilan ESC telah dipertingkatkan lagi dengan tambahan seperti:

  • Emergency Brake Assist (EBA)
  • Hill Decent Control (HDC)
  • Hill Launch Assist (HLA)
  • Rollover Mitigation (ROM)
  • Trailer Sway Control (TSC)
  • Adaptive Load Control (ALC)
  • Blind Spot Information System (BLIS) with Cross Traffic Alert
  • Lane Departure Warning & Assist
  • Semi Automatic Parallel Parking (SAPP)
  • Autonomous Emergency Braking (AEB) with Vehicle & Pedestrian Detection

https://www.youtube.com/watch?v=cIe3xp1NkjU

Beberapa ciri-ciri tersebut merupakan antara ciri-ciri pertama yang telah ditawarkan kepada kenderaan dalam segmen ini dan tidak dinafikan bahawa Ford Ranger Wildtrak generasi baharu merupakan salah satu trak pikap yang paling selamat dalam pasaran negara.

Secara keseluruhan, Ford Ranger Wildtrak 2019 merupakan trak pikap yang lebih berkuasa, selesa dan senang untuk dijaga berbanding dengan model generasi sebelum ini. Dengan harga yang agak kompetitif, pakej yang ditawarkan oleh Ford Malaysia sangat menarik untuk sebuah jentera yang lengkap dari segi prestasi dan juga segala teknologi yang terdapat bersama.

Dengan itu, kami juga tidak terkejut apabila salah seorang rakan sekerja kami telah pun membeli sebuah unit untuk kegunaan seharian (dan juga beberapa jiran di kawasan rumah masing-masing). Untuk maklumat lanjut, layari www.sdac.com.my atau kunjungi mana-mana bilik pameran Sime Darby Auto Connexion di dalam negara.

A car stirs the soul, a motorbike is the soul. Keshy has been a motoring journalist for over a decade and has written for and founded a number of Malaysian motoring titles including Piston.my, Bikesrepulic.com, Motomalaya.net and other mass media titles.

Artikel Berkaitan