Piston.my

10 kereta Honda paling ikonik dalam sejarah

Honda merupakan salah satu pengeluar kereta (dan juga motor) yang paling berpengaruh di dunia. Mengikuti sejarah permulaan Honda dengan pengasas idealistik iaitu Soichiro Honda seawal tahun 1940-an, pembangunan jenama Honda merupakan sebuah perjalanan yang sangat unik dan menarik.

Hasil dari segala evolusi syarikat, pandangan dan matlamat untuk menjadi syarikat pengeluar kereta terhebat di dunia adalah barisan kenderaan yang sangat berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai serta setia di seluruh pelosok dunia.

Berikut adalah 10 kereta Honda yang paling ikonik di dalam sejarah mereka (mengikut pendapat kami di MotoMalaya.net).

  1. Honda CR-X 1988

Honda CR-X atau “Civic Renaissance X” merupakan kereta kompak ‘sport’ dengan pacuan roda hadapan yang telah dikeluarkan dari 1983 sehingga 1991. Matlamat pengeluaran model CR-X adalah untuk memberi sebuah kenderaan 2 tempat duduk yang jimat dalam penggunaan petrol pada harga yang berpatutan dan seronok untuk dibawa.

Terdapat beberapa model CR-X yang dikeluarkan dalam tempoh 9 tahun dan bagi kami, model tahun 1988 merupakan model yang paling menarik. Model 1988 merupakan evolusi yang dilengkapkan dengan casis baharu dan juga sistem suspensi jenis ‘double wishbone’ yang diinspirari dari kereta Formula 1 Honda dan McLaren.

Pakej Honda CR-X pada tahun tersebut juga telah ditambahbaikkan dengan enjin 1,590cc empat silinder DOHC ZC yang mampu menjana 105 kuasa kuda. Dengan berat maksima 930kg, Honda CR-X keluaran 1988 merupakan model yang sangat seronok dan berkuasa untuk dibawa lebih-lebih lagi dengan transmisi 5-kelajuan jenis manual.

  1. Honda Integra Type R 1995

Sejarah Honda Integra bermula pada tahun 1986 dan selama 20 tahun ia dikeluarkan, model tahun 1995 merupakan antara model Integra yang paling diingini oleh peminat-peminat di seluruh pelosok dunia. Model Integra juga merupakan model Honda pertama yang memperkenalkan enjin yang paling dikenali oleh mana-mana peminat kereta iaitu VTEC atau ‘Variable Valve Timing & Lift Electronic Control’ pada tahun 1992.

Pada tahun 1995, Honda memperkenalkan model Integra yang paling agung iaitu Honda Integra Type R atau juga dikenali sebagai DC2 Integra Type R. Segala aspek yang membuat model Integra sebuah kenderaan yang menarik dari enjin, transmisi, casis, brek dan juga reka bentuk dalaman telah ditambahbaikkan lagi.

Dengan enjin 1.8 liter DOHC VTEC empat silinder, ia mampu menjana 200 kuasa kuda pada 8,000rpm dan segala teknologi yang digunakan dalam pengeluaran kereta lumba telah disuntik dalam evolusi Integra ini. Hasilnya adalah kereta Honda yang mempunyai spesifikasi kegunaan dalam litar tetapi boleh di pandu di jalan raya.

  1. Honda Civic Type R EK9 1997

Sejarah Honda dan model Type R bermula dengan model Civic EK9 pada tahun 1997. Sebelum 1997, semua model Civic merupakan kereta yang dikatakan sangat bagus dan seronok untuk dibawa dari segi penjimatan minyak dan juga agak jinak.

Honda ingin membuktikan bahawa model Civic mereka boleh menjadi sebuah kereta yang berkuasa tinggi bersama pengendalian  tahap kereta lumba dan pada tahun 1997, mereka melancarkan model Civic jenis Type R pertama di dunia.

Spesifikasi seperti kotak transmisi nisbah rapat, ‘limited slip differential’ dan casis yang menggunakan teknologi kimpalan jenis ‘stitch’ telah diperkenalkan dalam model Civic termasuk tempat duduk Recaro dengan warna merah ikonik kepada model Type R.

Aspek yang paling hebat bagi model ini adalah enjin 1.8 liter jenis B16B iaitu enjin yang paling berkuasa jenis NA (naturally aspirated) pada masa tersebut dan ia mampu menjana 182 kuasa kuda. Pada masa tersebut, model ini hanya dijual di pasaran Jepun dan ia masih model yang dicari-cari oleh semua peminat Honda di serata dunia.

  1. Honda S2000 1999

Selepas Perang Dunia ke-2, Jepun mengeluarkan perintah bagi semua syarikat pengeluaran kereta untuk mengeluarkan kenderaan yang boleh digunakan untuk membin negara semula. Soichiro Honda dan 50 jurutera bertungkus-lumus dan hasilnya adalah dua kenderaan jenis ‘roadster’ dan satu lori mini model S360, S500 dan T360 pada tahun 1962.

Model S800 dikeluarkan dan ia seperti dilupakan di dalam sejarah Honda. Selepas lebih dari 20 tahun, Honda mengejutkan semua pengunjung dengan melancarkan Honda SSM atau ‘Sport Study Model’ yang kemudian menjadi model Honda S2000 keluaran tahun 1999.

Kereta ‘roadster’ Honda kembali ke pentas dunia dan ia mempunyai spesifikasi yang canggih dan berkuasa tinggi. Enjin 2 liter VTEC jenis F20C telah dipasangkan dengan blok jenis aluminium dan omboh aluminium istimewa yang mampu menjana sekitar 250hp pada 8,300rpm.

Honda S2000 mampu menjana 125hp bagi setiap liter dan ia merupakan kereta jenis NA (naturally aspirated) yang paling kuasa di dunia sebelum tempat itu diambil alih oleh Ferrari 458 pada tahun 2010. Honda S2000 menjadi lebih terkenal selepas filem Fast and Furious dikeluarkan dimana watak penjahat utama menggunakan kenderaan berkuasa tinggi ini.

  1. Honda NSX-R 1992

Honda NSX merupakan ‘supercar’ pertama keluaran Jepun yang telah dibangunkan bersama pelumba-pelumba terkemuka termasuk pelumba Formula 1, Aryton Senna. NSX atau “New Sports Car Unknown World” merupakan kereta Honda yang direka diantara Honda Civic dan kereta lumba Formula 1 mereka.

Honda NSX merupakan kereta pertama di dunia yang menggunakan casis aluminium sepenuhnya  dan ia telah ditambahbaikkan lagi dengan pembangunan menggunakan litar terkemuka iaitu Nurburgring. Hasilnya adalah antara kereta yang terhebat dari aspek pengendalian.

Dengan enjin 3 liter V6 VTEC, ia mampu menjana sekitar 290 kuasa kuda dan 280Nm tork maksimum. Pada tahun 1992, Honda telah menghasilkan model NSX Type R pertama dimana ia telah dibuahsuai secara mendadak untuk dijadikan sebagai kereta lumba litar terhebat dari Honda.

Honda NSX juga telah melalui beberapa evolusi dimana ramai peminat tegar masih mencari model dari tahun 1992 dan juga model yang telah dikemaskini pada tahun 2002 dengan reka bentuk yang baru. Sehingga hari ini, Honda NSX masih kekal sebagai ‘supercar’ terhebat keluaran Jepun.

  1. Honda FCX Clarity 2008

Nama model Honda FCX Clarity keluaran 2008 bukan yang terkenal di seluruh dunia tetapi ia merupakan kereta yang sangat penting bagi Honda dan juga masa hadapan industri kenderaan permotoran. Honda FCX Clarity merupakan kereta elektrik Honda pertama yang menggunakan teknologi hybrid dengan kuasa hidrogen sebagai bahan bakar utama (lebih kurang 390km bagi setiap isian tangki hidrogen).

Kereta elektrik dengan teknologi hybrid hidrogen ini memberi sesuatu yang sangat unik kepada para pengguna di Jepun dan Amerika Syarikat iaitu pengisian penuh semula gas hidrogen dalam masa 5 minit dan jarak perjalanan yang sama seperti kereta sedan konvensional yang menggunakan petrol sebagai bahan api.

Penjanaan kuasa elektrik berlaku melalui timbunan sel bahan api hidrogen Honda Vertical Flow yang mampu menjana 134 kuasa kuda dan 256Nm tork maksimum! Dari segi rupa bentuk, ia menyerupai Honda Accord tetapi kejayaan Honda FCX Clarity masih jauh hanya kerana stesen hidrogen masih terhad walaupun di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

  1. Honda Civic Type R FK2 2015

Anda rasa VTEC dah cukup hebat? Bagaimana pula dengan model Civic Type R yang mempunyai enjin VTEC siap dengan turbo terus dari kilang? Honda Civic Type R FK2 keluaran 2015 merupakan model Type R pertama yang telah dipasangkan dengan kuasa turbo untuk memberi kuasa yang lebih luar biasa!

Model FK2 ini telah disiapsediakan dengan enjin 2.0 liter jenis empat silinder bersama turbo yang mampu menjana lebih kurang 306hp pada 6,500rpm dan 400Nm tork maksimum dari 4,500rpm. Secara keseluruhan, Civic Type R ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam 5.7 saat sahaja. Kelajuan maksimum? 270km/j!

Dari segi reka bentuk, ia seumpama kereta lumba yang telah dipasangkan beberapa aspek hanya untuk memastikan ia boleh dibawa di jalan raya secara sah. Dari segi rekod di litar Nurburgring, ia mencatat masa hanya 7 minit 50 saat. Sangat pantas.

  1. Honda Civic Type R FK8 2017

Dalam masa dua tahun sahaja, Honda telah mengeluarkan evolusi terkini Honda Civic Type R dan model FK8 merupakan model yang lebih ganas, laju, dan hebat berbanding dengan FK2 keluaran 2015 di atas. Walaupun ia menggunakan enjin yang sama seperti Civic Type R FK2, banyak penambaikan yang telah disuntik ke dalam model ini.

Dari segi spesifikasi, model FK8 ini didatangkan dengan aspek-aspek baharu seperti kotak transmisi, fungsi ‘auto rev’, pakej suspensi adaptif, casis, ekzos dan sistem elektronik. Kesemua ini menyumbang kepada rekod kereta FF (enjin hadapan, pacuan tayar hadapan) paling laju di Nurburgring dengan masa terpantas 7 minit 43.8 saat!

  1. Honda NSX 2016

Ramai yang menyangka bahawa model Honda NSX telah lama terkubur sejak keluaran terakhir pada tahun 2005. Dengan kegawatan ekonomi dan permintaan untuk kereta prestasi tinggi semakin kurang, kebarangkalian untuk model NSX untuk dikeluarkan semula adalah sangat tipis.

Akan tetapi, ekonomi dunia semakin pulih dan pada tahun 2016, Honda melancarkan Honda NSX generasi kedua yang mempunyai aspek ‘supercar’ mendalam jika dibandingkan dengan generasi pertama. Model NSX ini juga telah menggunakan teknologi hybrid dengan tambahan enjin elektrik untuk lebih kuasa.

Model NSX kali ini merupakan supercar terunggul keluaran Honda dengan teknologi ‘all wheel drive’ dan enjin 3.5 liter V6 yang digabungkan dengan tiga enjin elektrik. Gabungan kesemua enjin ini berjaya menghasilkan 573hp! Dengan reka bentuk seperti supercar keluaran Italy, Honda NSX 2016 jauh lebih cantik dan berkuasa sehingga ia mampu memenangi beberapa anugerah penting dari seluruh dunia.

  1. Honda RA272 1965

Honda RA272 merupakan kereta lumba Formula 1 pertama keluaran Jepun pertama yang berjaya memenangi perlumbaan Formula 1. Ini merupakan pencapaian yang besar kerana Honda masih baru dalam bidang pengeluaran kenderaan jika dibandingkan dengan pengeluar kereta yang lain di dalam Formula 1 seperti Ferrari.

Honda berjaya dengan evolusi enjin jenis V12 berkapasiti 1,500cc yang telah dibina khusus untuk perlumbaan Formula 1. Pada tahun 1965, Honda RA272 mampu menjana 230 kuasa kuda setinggi 13,000rpm dan ia mampu dibawa dengan selamat sehingga 14,000rpm.

Pada tahun 1965 sewaktu perlumbaan Grand Prix di Mexico, Honda memenangi pusingan tersebut dari mula perlumbaan sehingga tamat dengan pemandu pada mas tersebut, Richie Ginther. Walaupun musim tersebut merupakan musim yang sangat sukar bagi Honda dalam Formula 1, mereka berjaya di pusingan terakhir diikuti Brabham, Lotus, Ferrari, BRM dan Cooper.

Secara keseluruhan, terdapat banyak lagi model terkemuka keluaran Honda yang boleh ditambah ke dalam senarai ini seperti Honda Prelude dan Accord. Dengan sejarah yang menarik dan jumlah model yang mengagumkan, Honda masih kekal sebagai antara pengeluar kereta yang paling terkenal di dunia.

A car stirs the soul, a motorbike is the soul. Keshy has been a motoring journalist for over a decade and has written for and founded a number of Malaysian motoring titles including Piston.my, Bikesrepulic.com, Motomalaya.net and other mass media titles.

Artikel Berkaitan